JACLYN (sepuluh dari kanan) bersama pengurusan tertinggi syarikat dan peserta UDEMC.
JACLYN (sepuluh dari kanan) bersama pengurusan tertinggi syarikat dan peserta UDEMC.
Oleh Helmy Abd Rahman


Acara tahunan UD Trucks Extra Mile Challenge (UDEMC) kembali lagi untuk edisi keempat bagi mencari pemandu trak terulung yang mampu mengendalikan logistik pintar dalam bidang pemanduan kenderaan berat ini.

Pertandingan dianjurkan UD Trucks dan Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) ini bertujuan meningkatkan kemahiran dan kecekapan pemandu trak melalui ujian latihan, teori serta praktikal.

Peserta yang mengambil bahagian dalam cabaran ini dikehendaki menjalani program latihan menyeluruh UD Trucks yang menjadi antara syarat pertandingan.

Menurut Pengarah Urusan UD Trucks Hub Malaysia, Steve Hedouin, UDEMC adalah landasan bagi permintaan logistik pintar yang semakin meningkat dengan pihaknya menumpukan kepada pemandu trak keluaran syarikat itu.

“Pertandingan ini bermatlamat mengekalkan pemandu yang bagus dan pada masa sama membantu mereka berkembang dan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dalam industri ini.

“Ketika UDEMC edisi pertama dianjurkan pada 2016, ia pertandingan pertama seumpamanya yang dikendalikan syarikat trak Jepun di pasaran negara ini.

“Logistik pintar dengan disokong pengangkutan pintar bererti terdapat keberkesanan, keuntungan, kelestarian dan keselamatan untuk mengalihkan barangan dan semua ini perlu selari atau harmoni dengan persekitaran serta masyarakat.

“Pokok pangkalnya, pemandu trak terulung adalah individu yang mampu melaksanakan semua keperluan ini, sekali gus menjadi simbol terbaik dalam cabaran ini,” katanya.

ANTARA peserta yang mengambil bahagian.
ANTARA peserta yang mengambil bahagian.

Sepanjang pertandingan, setiap pemandu diberikan peluang mempamerkan kebolehan, pengetahuan dan profesionalisme menerusi beberapa siri ujian dijalankan. Tiga ujian utama membabitkan pemeriksaan keadaan trak sebelum pemanduan, keberkesanan penggunaan minyak dan pemanduan selamat serta kemahiran pengendalian dan parkir.

Tujuan utama struktur pertandingan ini adalah untuk meniru kitaran umum dunia pengangkutan dan mengajar pemandu membayangkan cara menjalankan operasi logistik yang menguntungkan, menerusi cara mengekalkan kos operasi rendah, mengelakkan kemalangan serta memastikan tempoh perjalanan lebih pendek melalui pemanduan berkesan yang dapat membantu mereka menjalankan t

ugas dalam dunia nyata.

“Pertandingan ini bukan saja mengenai kemampuan teknikal pemandu, malah ia menggalakkan mereka berfikir secara komersial dan bagaimana kecekapan mereka boleh meningkatkan produktviti yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada semua melalui penjimatan bahan api serta membabitkan aspek keselamatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TCIE, Jaclyn Loy.

Pertandingan ini diadakan dalam beberapa peringkat membabitkan pusingan kelayakan yang mengambil tempat di seluruh negara iaitu di Batu Caves, Johor Bahru, Bukit Mertajam dan Kuantan.

Seramai 10 pemandu mencatatkan markah terbaik akan bersaing di peringkat kebangsaan di TCIE Ipoh, bulan depan.

Pemandu terbaik dari negara ini berpeluang mewakili negara dan

bersaing dengan pemandu lain dari seluruh dunia di peringkat akhir di Jepun pada April tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 10:52 AM