MAJLIS penyerahan trak baharu kepada Kechara Soup Kitchen disempurnakan Peden (empat dari kiri) kepada Ooi.
MAJLIS penyerahan trak baharu kepada Kechara Soup Kitchen disempurnakan Peden (empat dari kiri) kepada Ooi.
Zaitie Satibi


SEMAKIN dikenali sebagai pertubuhan amal yang menyediakan makanan dan penjagaan kesihatan asas kepada golongan gelandangan serta tidak berkemampuan di negara ini, Kechara Soup Kitchen (KSK) dilihat aktif dalam menjalankan program tabung makanan bagi mengurangkan masalah kebuluran, turut berdepan pelbagai cabaran logistik.

Setiap hari, program tabung makanan KSK akan bergerak mengutip lebihan makanan mentah daripada penderma seperti pasar raya dan hotel sebelum diagihkan ke banyak lokasi terutama di penempatan golongan berpendapatan rendah.

Dalam melaksanakan tugas berkenaan, pemandu KSK terpaksa beberapa kali berulang-alik kerana mereka hanya mempunyai satu kenderaan kecil. Selain itu, KSK juga menubuhkan klinik bergerak dengan kenderaan yang sama bagi menawarkan pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan kaunseling percuma kepada gelandangan serta golongan tidak berkemampuan.

Menyedari kesulitan dihadapi KSK, ia mendorong Volvo Trucks melancarkan inisiatif tanggungjawab korporat sosial (CSR) dengan menyumbang sebuah trak tugas berat tegar Volvo FM330 4 x2 yang lengkap dengan ubah suai binaan khas kepada pertubuhan amal itu.

Pengarah Urusan Volvo Malaysia, Mitch Peden berkata, trak untuk KSK ini akan berfungsi sebagai kenderaan pelbagai guna untuk mengumpul dan mengedar makanan, klinik dan ruang bergerak bagi menjalankan aktiviti penjagaan kesihatan serta pendidikan kepada golongan sasaran.

SUKARELAWAN Kechara Soup Kitchen mengumpul barangan makanan yang disumbangkan orang ramai.
SUKARELAWAN Kechara Soup Kitchen mengumpul barangan makanan yang disumbangkan orang ramai.

Menurutnya, sumbangan trak itu adalah sebahagian daripada program CSR pihak Volvo Group di peringkat global yang dijalankan setiap tahun di seluruh dunia dengan matlamat memberikan persekitaran kebajikan yang lebih baik dan selesa kepada komuniti setempat dengan menyokong usaha kemasyarakatan.

“Keputusan untuk menyumbang sebuah trak kepada KSK menerusi program Seasonal Gift sememangnya satu tindakan yang logik kerana semua kerja kebajikan mereka selari dengan nilai utama syarikat iaitu kualiti, keselamatan dan menjaga alam sekitar.

“Kebanyakan komitmen sosial kami tertumpu kepada masyarakat setempat

apabila kami boleh memberi kebaikan yang besar kepada mereka. Oleh itu, kami percaya trak ini mampu membantu KSK beroperasi dengan lebih efektif demi manfaat masyarakat.

“Malah, kami turut menyediakan latihan percuma kepada pemandu trak KSK untuk memaksimumkan semua ciri keselamatan dan penjimatan bahan api yang ada pada trak yang disumbangkan, di samping membayar kos mendapatkan Lesen Membawa Barang (GDL) untuk pemandu, baik pulih dan penyelenggaraan trak,” katanya.

Peden berkata, Malaysia satu daripada tujuh negara yang menempatkan cawangan syarikatnya yang diberi dana Seasonal Gift dan sumbangan trak berkenaan adalah kali kedua negara ini menerima dana itu.

SAYURAN lebihan dari pasar yang dikutip Kechara Soup Kitchen diagihkan kepada penduduk memerlukan.
SAYURAN lebihan dari pasar yang dikutip Kechara Soup Kitchen diagihkan kepada penduduk memerlukan.

“Dana kali pertama digunakan untuk komuniti Bario di Sarawak dengan membina sistem pemadam api di rumah panjang, selain membina lima pondok eko di sepanjang laluan warisan masyarakat Kelabit di dalam hutan pada 2017,” katanya.

Sementara itu, Presiden KSK, Henry Ooi berkata, sumbangan trak dan inisiatif mengumpul dana yang diilhamkan oleh Volvo Trucks ini dapat meningkatkan tahap kecekapan dan kapasiti pihaknya bagi menjimatkan masa dan mengurangkan pembaziran makanan.

“KSK ditubuhkan pada 2006 sebagai satu pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang memberi khidmat pengagihan makanan, minuman dan pertolongan cemas asas secara percuma kepada golongan gelandangan serta mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau agama.

“Pertubuhan ini beroperasi berasaskan kepada motto ‘Kelaparan Tidak Mengenal Sempadan’ dan percaya bahawa belas ehsan yang diberikan kepada mereka yang tidak bernasib baik perlu diperluaskan lagi. Dengan adanya trak ini, sudah pasti kami dapat membantu lebih ramai golongan yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 10:55 AM