RAKAN artis yang hadir memberi sokongan. FOTO Saifullizan Tamadi
RAKAN artis yang hadir memberi sokongan. FOTO Saifullizan Tamadi
Nurul Husna Mahmud


HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Ungkapan itu sepadan dengan tujuan pameran seni amal ‘KOAPSALWEY Tribute For Hery Zain’ yang dijalankan sekumpulan pelukis, Sebijipadi & The Gang dalam mengumpul dana untuk keluarga artis berkenaan.

Pameran berkenaan menampilkan lebih 50 hasil kerja 34 artis daripada pelbagai kumpulan seni sekitar Lembah Klang termasuk Double Dice Crew, Ground Zero Studio dan B3452Asylum.

Menurut wakil penganjur, Samsudin Wahab, Hery Zain sangat dikenali dan rapat dengan pelbagai kumpulan artis baik muda mahupun senior.

ANTARA karya Hery Zain yang dipamerkan. FOTO Saifullizan Tamadi
ANTARA karya Hery Zain yang dipamerkan. FOTO Saifullizan Tamadi

“Allahyarham dikenali seorang artis sangat suka bereksperimen dan kreatif selain sering menampilkan imej berbeza daripada karya yang biasa dilihat dalam seni arus perdana.

“Karya beliau seperti Tikus menampilkan genre karya ‘print making’ dan subjek diminati kerana beliau banyak bergaul dengan komuniti serta pelbagai kolektif artis termasuk dalam seni cetak.

“Hari ini kami juga menerima kunjungan pelukis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor mahupun sejauh Kuantan, Pahang untuk menyaksikan karya tinggalan arwah.

“Ada sesetengah karya beliau, kami simpan dalam arkib galeri untuk paparan orang ramai selain tatapan rakan artis yang meminati karya beliau,” katanya.

LUKISAN artis lain yang terjual sebahagian akan disalurkan kepada rumah kebajikan serta upah haji untuk arwah. FOTO Saifullizan Tamadi
LUKISAN artis lain yang terjual sebahagian akan disalurkan kepada rumah kebajikan serta upah haji untuk arwah. FOTO Saifullizan Tamadi

Kata Samsudin, antara artis yang menyumbang termasuk pelukis tersohor iaitu Bayu Utomo Radjikin yang juga pengasas HOM Art Trans Ampang Selangor iaitu lokasi pameran berkenaan.

“Dalam pameran yang berlangsung selama seminggu itu, 50 peratus kutipan daripada hasil jualan lukisan akan diserahkan kepada rumah kebajikan terpilih sebagai penghargaan kepada beliau dan sebahagian lagi untuk keluarga menyempurnakan upah haji badal buat arwah.

“Saya berharap selain sokongan kepada arwah menerusi pameran ini, rakan artis dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain tidak mengira genre atau kumpulan artis masing-masing,” katanya mengakui arwah juga aktif dalam komuniti berbasikal.

TIKUS antara karya unik Hery Zain. FOTO Saifullizan Tamadi
TIKUS antara karya unik Hery Zain. FOTO Saifullizan Tamadi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 10:31 AM