Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan,Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon (tiga dari kiri) ketika melancarkan Pusat Kitar Semula Tekstil di Bahau. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan,Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon (tiga dari kiri) ketika melancarkan Pusat Kitar Semula Tekstil di Bahau. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Tapak pelupusan sampah di seluruh negara bakal berdepan masalah kritikal sekiranya pembuangan sisa tekstil yang mengambil masa 200 tahun untuk terurai tidak ditangani secara efektif.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon berkata, berdasarkan data dikongsi SWCorp, sebanyak 432,901 tan metrik sisa tekstil dibuang rakyat negara ini pada 2021.

Menurutnya, jumlah itu meningkat dua kali ganda berbanding 195,300 tan metrik pada 2018.

Katanya, laporan turut menunjukkan bahawa tapak pelupusan di Malaysia menghampiri situasi kritikal susulan kehabisan ruang bagi tujuan pelupusan sisa pepejal menjelang 2050.

"Kajian World Resources Institute mendapati, pelupusan tekstil mengambil masa lebih 200 tahun untuk terurai di tapak pelupusan sampah.

"Hanya 15 peratus sahaja tekstil terpakai secara teorinya dikitar semula selain ada yang dihantar keluar negara.

"Justeru Kempen Sifar Sisa Tekstil yang diperkenalkan berupaya memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan pemulihan tekstil dan kelestarian alam," katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Kitar Semula Tekstil Daerah Jempol di Perkarangan Stesen Bas Bahau di sini, semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) Nawal Mohamed Amin dan Pengurus Besar SWM Environment Sdn Bhd Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Nicole berkata, Pusat Kitar Semula Tekstil di Jempol ini diwujudkan Life Line Clothing Malaysia Sdn Bhd bertujuan mengurangkan jumlah buangan sisa tekstil melalui proses pengekalan, pembaikan dan penggunaan semula.

Justeru itu katanya dengan mengalihkan tekstil dari tapak pelupusan sampah yang sudah sesak, ia menyumbang secara signifikan kepada pengurangan jumlah sisa dan mengurangkan beban pada sistem pelupusan negara.

"Kitar semula dapat menyelamatkan lebih dari 100 juta tan metrik pelepasan karbon dioksida (CO2) yang dijangka meningkat kepada satu bilion tan menjelang 2030," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 10:08 AM