AHMAD Hussin melihat isterinya, Saudah Karim menjahit kasut pelanggan di kilinik kasut Majeed Pekan Baru Baling. FOTO SAFURI KAMARUDIN
AHMAD Hussin melihat isterinya, Saudah Karim menjahit kasut pelanggan di kilinik kasut Majeed Pekan Baru Baling. FOTO SAFURI KAMARUDIN
KLINIK Kasut Majeed diusahakan Ahmad Hussin bersama isterinya, Saudah Karim di Pekan Baru Baling. FOTO SAFURI KAMARUDIN
KLINIK Kasut Majeed diusahakan Ahmad Hussin bersama isterinya, Saudah Karim di Pekan Baru Baling. FOTO SAFURI KAMARUDIN
Safuri Kamarudin


KEKEMASAN jahitan, perkhidmatan pantas malah harga berpatutan membuatkan perkhidmatan menjahit kasut diusahakan pasangan suami isteri sejak 1989 terus kekal sehingga sekarang.

Dikenali sebagai Klinik Kasut Majeed, nama itu tidak asing di pekan Baling sejak beroperasi 30 tahun lalu.

Pengusahanya, Ahmad Hussin, 58, berkata disebabkan kesihatannya yang terjejas akibat serangan angin ahmar, kini perkhidmatan itu diuruskan isterinya, Saudah Karim, 53.

Menurutnya, dia bersyukur kerana perkhidmatan itu terus kekal sehingga kini dan sudah berjaya menjahit puluhan ribu kasut pelanggan.

“Harga dikenakan pelanggan hanya sekitar RM10 sehingga RM30 bergantung kepada kadar kerosakan.

“Kerja menjahit dilakukan dengan penuh kemas dan kesabaran supaya setiap jahitan bertahan lama.

“Saya mementingkan kualiti dan ketelitian jahitan, justeru saya turut memantau jahitan dilakukan isteri,” katanya kepada Harian Metro.

Bapa kepada empat anak berkata, dengan wang hasil jahitan itulah menjadi punca rezeki untuk dirinya selain bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling.

“Meskipun tidak memberi pendapatan lumayan, ia masih dapat menjana pendapatan selain dapat membantu orang ramai,” katanya.

Ahmad yang kini hanya berkerusi roda tetap ‘turun padang’ membantu isteri mengikut kadar kemampuannya setiap hari.

“Saya berasa gembira apabila melihat pelanggan berpuas hati dengan jahitan kasut mereka.

“Saya percaya, kepuasan pelanggan sajalah yang membolehkan perkhidmatan ini terus kekal sehingga sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 12:52 PM