NUR Syahirah menjahit kulit replika dinosaur  yang ‘dibedah’ untuk memperbaiki kerosakan motornya. FOTO BERNAMA
NUR Syahirah menjahit kulit replika dinosaur yang ‘dibedah’ untuk memperbaiki kerosakan motornya. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Walaupun dalam keadaan panas terik, Nur Syahirah Harun, 29, tekun menjahit 'luka' Tyrannosaurus Rex (T-Rex) bagi menutup permukaan kulit yang 'dibedah' untuk memperbaiki kerosakan motor pada replika dinosaur animatronik bersaiz sebenar itu.

Ini dilakukannya bagi memastikan dinosaur animatronik yang dipamerkan di Zoo Mini Taman Teruntum, Kuantan, Pahang boleh beraksi segera sebagai tatapan pengunjung untuk menyaksikan haiwan prasejarah itu.

Bertugas sebagai renjer di Dinosaur Encounter di Pusat Sains Negara di sini, bekas penjawat awam itu berkata, kerja terbabit sebahagian daripada proses penyelenggaraan selepas memperbaiki kerosakan pada pelbagai replika robotik.

Katanya, secara asasnya, tugas hakiki renjer adalah memberi maklumat mengenai kehidupan dan ciri setiap spesies haiwan prasejarah itu kepada pengunjung.

"Apabila berlaku kerosakan, renjer memperbaiki motor di dalam replika ini yang mana kami perlu membelah bahagian terbabut dan dijahit semula.

"Nampak mudah kan? Tapi, sebenarnya, tidak. Bukan semua renjer boleh melakukannya. Buat masa ini, saya turut melatih renjer lain," katanya.

NUR Syahirah bersama seekor daripada 18 ekor replika dinosaur animatronik yang diselenggaranya . FOTO BERNAMA
NUR Syahirah bersama seekor daripada 18 ekor replika dinosaur animatronik yang diselenggaranya . FOTO BERNAMA

Nur Syahirah berkata, luka dimaksudkan adalah bahagian terbelah atau rosak di mana-mana permukaan kulit haiwan prasejarah itu termasuk bahagian kuku dan gigi, serta perlu dijahit menggunakan jarum melengkung seperti mata kail dan tali tangsi menerusi kaedah jahitan insang pari.

Tambahnya, selain minat dan kemahiran asas menjahit, renjer perlu mempunyai tubuh kecil supaya tidak memberi tekanan kepada dinosaur menyebabkan rangka replika patah ketika kerja menjahit dilakukan.

"Bayangkan dengan saiz dinosaur yang besar dan tinggi, kerja menjahit hanya boleh dilakukan secara manual bermula dengan meletakkan gam dan dicantum menggunakan pengokot (stapler) sebelum dijahit.

"Sebelum dijahit, saya perlu memastikan kerja teknikal seperti pembaikan motor atau bahagian rangka patah dibaiki sepenuhnya," katanya yang mengambil masa dua hari menyiapkan tugas tersebut bergantung kepada keadaan 'luka'.

Tambahnya, selepas menjahit, kulit dinosaur yang diperbuat daripada silikon dicorakkan menggunakan warna sepadan bagi menutup kesan jahitan terbabit.

NUR Syahirah (tengah) bersama renjer lain yang bertugas di Pameran Dinosaur Encounter di Pusat Sains Negara. FOTO BERNAMA
NUR Syahirah (tengah) bersama renjer lain yang bertugas di Pameran Dinosaur Encounter di Pusat Sains Negara. FOTO BERNAMA

Aksi Nur Syahirah ketika menjahit replika haiwan prasejarah di pameran Dinosaur Encounter di Zoo Mini Taman Teruntum, Kuantan menjadi tular di aplikasi TikTok, sekali gus menambat hati netizen berikutan kelainan kerjanya.

Kata Nur Syahirah pameran Dinosaur Encounter yang berteraskan teknologi realiti terimbuh atau augmented reality (AR), bertujuan mengajak pengunjung untuk merasai aura kehidupan dinosaur pada zaman prasejarah di tiga lokasi iaitu Pusat Sains Negara, Zoo Melaka di Melaka dan Zoo Mini Taman Teruntum, Kuantan.

Bahkan, katanya, selain dinosaur bersaiz sebenar, persekitaran hutan di zoo itu membuatkan haiwan yang sudah lama pupus seolah-olah hidup semula seperti di habitat asal ditambah pula dengan pergerakan robotik daripada kepala sehingga hujung ekor.

"Melalui sains dan teknologi, kami bawakan kepada pengunjung suasana zaman prasejarah serta ketika dinosaur pupus melalui beberapa fenomena alam seperti letusan gunung berapi dan penemuan fosil.

"Malah, di setiap lokasi terdapat keistimewaan tertentu, contohnya jika di Zoo Mini Taman Teruntum, ia diiktiraf sebagai zoo hibrid pertama di dunia, apabila menggabungkan elemen haiwan hidup, animatronik dan dinosaur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 7:30 AM