Nurul Sabrina Jamali


Shah Alam: Terowong dinosaur atau Dino Land menjadi tarikan utama kepada pengunjung di reruai The News Straits Times Press (NSTP) (M) Bhd sempena Karnival Jom Heboh, Selangor Generasi Muda di Dataran Stadium Shah Alam, di sini.

Pengurus Besar Jabatan Pengedaran Akhbar NSTP, M Prakash berkata, Dino Land ini bertujuan memberi pendekatan kepada pembaca akhbar digital NSTP termasuk Berita Harian, Harian Metro dan News Straits Times untuk merasai pengalaman kembali ke zaman dinosaur.

"Dino Land bertujuan memberi pengalaman dan pendedahan mengenai zaman dinosaur, selain merasai keseronokan sepanjang melalui terowong ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, seawal jam lapan pagi pengunjung sudah beratur untuk masuk bersama anak-anak bagi merasai sendiri pengalaman di Dino Land.

"Kebanyakan pengunjung yang hadir akan membawa anak-anak datang bersama lebih-lebih lagi sekarang musim cuti persekolahan, jadi sambutan di sini memang luar biasa," katanya.

PENGUNJUNG yang hadir   di Karnival Jom Heboh Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival Stadium Shah Alam. FOTO Saifullizan Tamadi.
PENGUNJUNG yang hadir di Karnival Jom Heboh Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival Stadium Shah Alam. FOTO Saifullizan Tamadi.

Prakash berkata, pihaknya menawarkan pakej keluarga yang sangat istimewa iaitu RM30 untuk dua dewasa dan tiga kanak-kanak.

"Mereka juga akan mendapat langgan akhbar digital selama sebulan secara percuma, 'goodies bag' yang berisi satu kampit beras, dua botol air dan tiga naskah akhbar keluaran NSTP.

"Pengunjung juga berpeluang untuk mengambil gambar di 'booth' dinosaur seisi keluarga selepas masuk ke Dino Land dengan percuma," katanya.

Pengunjung, Baizura Wahid, 38, berkata, anak-anak sangat teruja ketika masuk ke Dino Land.

"Ia memberi pengalaman baharu seumpama berada di zaman dinosaur. Banyak manfaat kami datang ke sini, sekurang-kurangnya ada aktiviti menarik yang terisi sepanjang cuti persekolahan," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd kamil Ibrahim, 42, berkata, dia gembira membawa anak-anaknya masuk ke Dino Land ini kerana dapat memberi pendedahan binatang yang sudah tidak wujud di zaman ini.

PENGUNJUNG bergambar dengan replika dinosaur di reruai Dino Land sempena Karnival Jom Heboh Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival Stadium Shah Alam. FOTO Saifullizan Tamadi.
PENGUNJUNG bergambar dengan replika dinosaur di reruai Dino Land sempena Karnival Jom Heboh Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival Stadium Shah Alam. FOTO Saifullizan Tamadi.

"Tujuan saya membawa anak-anak ke sini adalah untuk memberi pendedahan kepada mereka mengenai kewujudan spesies dinosaur yang sudah lama pupus di dunia.

"Jadi, dengan adanya Dino Land, mereka akan merasai pengalaman seperti berada di zaman itu dan mengetahui jenis dinosaur yang pernah wujud," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 2:52 PM