PELBAGAI replika spesies haiwan prasejarah bersifat robotik tarikan pengunjung taman tema.
PELBAGAI replika spesies haiwan prasejarah bersifat robotik tarikan pengunjung taman tema.
Recqueal Raimi


NGAUMAN yang bergema sahaja sudah cukup menggerunkan.

Apatah lagi berdiri di sebelah haiwan terbesar di dunia yang membuatkan perasaan takut, tetapi pada masa sama sebenarnya teruja.

Lebih-lebih lagi, persekitaran hutan membuatkan haiwan yang sudah lama pupus itu seolah-olah 'wujud' seperti di habitat asal ditambah pula dengan pergerakan 'robotik' bahagian kepala sehingga hujung ekor.

Jurassic Land Kiulu adalah taman tema yang kini dibuka secara tertutup untuk golongan dewasa sahaja menyediakan replika dinosaur 'animatronik' seluas 1.21 hektar terletak di Kampung Bungaliu Kiulu, Tuaran kira-kira 45 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua pegawai eksekutifnya Sam Chan, 44, berkata, idea itu tercetus apabila dia dan anak perempuannya yang berusia enam tahun mempunyai minat sama terhadap keunikan haiwan berkenaan.

Dia kemudian bertemu rakannya yang juga pengasas bersama, Ady Kim, 37, dan Jason Poi, 45, yang turut meminati filem Jurassic Park sebelum bersama-sama mendirikan taman tema terbabit.

"Meskipun haiwan ini sudah lama pupus, dinosaur masih diminati orang ramai khususnya kanak-kanak yang sering menyaksikan paparan mengenai haiwan itu dalam filem mahupun siri rancangan televisyen.

"Malah, ada juga golongan dewasa yang turut meminatinya dan gemar mengkaji sejarah atau mengumpul patung dinosaur untuk dijadikan koleksi," katanya.

PENGALAMAN mengujakan buat anda.
PENGALAMAN mengujakan buat anda.

 JURASSIC Land Kiulu dari pemandangan atas udara.
JURASSIC Land Kiulu dari pemandangan atas udara.

PENULIS merakam kenangan bersama replika Tyrannosaurus Rex.
PENULIS merakam kenangan bersama replika Tyrannosaurus Rex.

Bermula dari filem itu juga, mereka mendapat ilham untuk mendirikan destinasi tarikan itu berkonsepkan replika haiwan berkenaan yang turut menyediakan pelbagai aktiviti mengujakan.

"Selain pengunjung dapat menyaksikan replika reptilia Tyrannosaurus Rex, Velociraptors, Triceratops dan banyak lagi, di sini turut menyediakan aktiviti serta kemudahan yang iaitu kafe, pertunjukan dinosaur, Flying Zipline, Jumpoline dan Cycle 8 Park," katanya.

Sam berharap lokasi itu akan menjadi destinasi kunjung seisi keluarga khususnya kanak-kanak yang jarang berpeluang keluar seperti dulu sebelum pandemik Covid-19.

Pengunjung, Rayner Raimi, 21, berkata, dia teruja melihat pelbagai replika spesies haiwan prasejarah bersifat robotik itu di situ.

Menurutnya, dia bersama seorang ahli keluarganya teruja menyaksikan kehebatan seni pembuatan pelbagai spesies dinosaur yang menampakkan seolah-olah benar kewujudannya.

"Perut haiwan (replika) itu bergerak seperti menarik dan menghembus nafas seakan-akan bernyawa.

"Sebelum ini, kami hanya menyaksikan dinosaur dalam filem seperti Jurassic Park, tetapi kali ini kami seperti menyaksikan ia wujud," katanya yang berkunjung selepas ia mula dibuka secara tertutup untuk golongan dewasa sahaja

beberapa hari lalu dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Rayner menambah, ia pasti bakal menggembirakan seisi keluarga yang berkunjung terutama anak-anak mereka yang sudah lama tidak keluar rumah.

"Menariknya juga, setiap replika dinosaur mempunyai maklumat pengenalan spesies dan ini memudahkan kanak-kanak mempelajari sesuatu yang baharu bagi mereka," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 7:00 AM