KANAK-KANAK setiap kumpulan berpeluang memasak dan mengendalikan peralatan dapur.
KANAK-KANAK setiap kumpulan berpeluang memasak dan mengendalikan peralatan dapur.
Zaitie Satibi


Bagi mengikis tanggapan yang salah mengenai aktiviti memasak, jenama perkakas dapur dan peralatan rumah, Tefal menganjurkan program Masak-Masak untuk penghuni kanak-kanak Rumah Kasih Harmoni di Paya Jaras, Sungai Buloh, baru-baru ini.

Pengurus Negara Groupe SEB Malaysia, Jack Wong berkata, memasak adalah kemahiran hidup dan aktiviti ini sebenarnya mudah dan menyeronokkan jika mereka tahu cara yang betul. Malah, mendedahkan kanak-kanak dengan kegiatan memasak pada usia muda dapat mewujudkan tabiat pemakanan yang sihat.

“Mengajar kanak-kanak memasak secara tidak langsung mendidik mereka mengenai ilmu nutrisi seperti merancang hidangan dan pilihan makanan yang sihat seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran dan bijirin penuh terutama apabila resipi yang disediakan menggunakan bahan berkhasiat.

“Ilmu nutrisi ini tidak lengkap jika tidak disampaikan menerusi aktiviti kerja tangan yang berkaitan dengan penyediaan makanan membabitkan pengendalian peralatan dapur dan bahan mentah. Malah, memasak juga melatih kanak-kanak untuk membina keyakinan diri apabila mereka diberi kepercayaan untuk menyediakan hidangan,” katanya.

Jack berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dilaksanakan sebagai inisiatif untuk memberi inspirasi, memperkasa, mendidik dan membangunkan masyarakat yang kurang bernasib baik terutamanya golongan muda.

“Dalam program ini kami membawakan chef selebriti dari Restoran Agak-Agak iaitu Ili Sulaiman dan Basira Yeusuff untuk mengajar kanak-kanak berkenaan cara asas memasak dan berkongsi panduan berguna dalam penyediaan hidangan.

“Kanak-kanak berkenaan bukan saja berpeluang mempelajari cara memasak spageti ayam dan sandwic telur, malah mereka turut diterangkan berkenaan kepentingan pengambilan makanan sihat. Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan berpeluang memasak sendiri resipi yang diberi,” katanya.

Seramai 16 kakitangan Tefal turut menyertai program berkenaan dan aktiviti melukis turut dianjurkan untuk kanak-kanak tidak terbabit dalam aktiviti memasak kerana usia yang masih kecil.

Dalam program yang sama, Rumah Kasih Harmoni menerima sumbangan wang RM10,000 hasil kutipan RM1 daripada setiap jualan produk Tefal di seluruh negara sejak Jun lalu. Kanak-kanak rumah kebajikan berkenaan turut menerima duit raya daripada duta Tefal, Sheila Rusly yang hadir memeriahkan program berkenaan.

“Keluarga bukan saja bermaksud orang yang mempunyai pertalian darah dengan kita, tetapi ia juga membabitkan masyarakat di sekeliling kita.

Sementara itu, Pengetua Rumah Kasih Harmoni, Jamaluddin Wahab berkata, pihaknya sangat terharu dengan kunjungan Tefal untuk mengajar kanak-kanak rumah kebajikan berkenaan memasak dan membawakan jurumasak berpengalaman dalam program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 11:31 AM