Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Masih ramai yang memiliki persepsi bahawa makanan dalam tin tidak sesuai untuk dinikmati terutama untuk kanak-kanak.

Namun, tahukah anda bahawa makanan dalam tin seperti sardin ikan tuna kaya dengan kandungan vitamin yang penting untuk kesihatan badan?

Selain itu, makanan dalam tin juga dikatakan sesuai dijadikan menu sihat dalam pengambilan harian untuk seisi keluarga.

Menyedari hakikat itu, jenama makanan dalam tin berkualiti Ayam Brand menyatakan pendirian mereka untuk terus konsisten mengadakan pelbagai program dalam usaha menggalakkan tabiat pemakanan seimbang dalam kalangan kanak-kanak dan golongan dewasa.

Inisiatif itu juga sebagai tanda sokongan kepada usaha Kementerian Kesihatan untuk membendung masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

Antara usaha yang dijalankan adalah memberi pendedahan mengenai pemilihan makanan sihat dan mengajar mereka cara penyediaan menu ringkas dan sihat.

Pengurus Pemasaran Ayam Brand, Marie Magali Falcoz berkata, perjuangan jenama itu untuk memperkenalkan tabiat pemakanan sihat diteruskan bagi meningkatkan kesedaran dan mengubah persepsi masyarakat mengenai nutrisi yang baik.

Katanya, perubahan gaya hidup hari ini menyebabkan sebahagian daripada masyarakat tidak berkesempatan untuk menyediakan makanan sihat yang dimasak sendiri di rumah kerana kesuntukan masa.

"Sehubungan itu, kami cuba mendidik kanak-kanak mengenal jenis nutrisi yang baik dan memberikan mereka tunjuk ajar dalam penyediaan makanan ring-kas dengan sendiri.

"Pada masa sama, kami juga menawarkan kepada ibu bapa dan pengasuh pilihan makanan yang cepat, mudah, sedap dan semestinya menyihatkan melalui rangkaian produk jenama ini.

"Tidak terkecuali, kami turut menyediakan koleksi resipi juadah antarabangsa dan tempatan yang boleh dimuat turun secara dalam talian termasuk yang bersesuaian untuk si kecil," katanya.

Mungkin ada juga yang tidak mengetahui bahawa menu ikan seperti tuna dan ikan kembung sememangnya kaya dengan omega-3 iaitu asid lemak penting yang tidak dapat dihasilkan oleh tubuh.

Antara kebaikan omega-3 adalah mencegah serangan sakit jantung, menggalakkan aktiviti saraf, meningkatkan penyerapan vitamin, mengekalkan sistem imun yang sihat dan membantu dalam pertumbuhan sel.

Selain itu, omega-3 juga penting dalam perkembangan daya penglihatan dan otak untuk kanak-kanak.

Marie berkata, bermula 2011, pihaknya menganjurkan siri jelajah Nutrifun School Roadshow dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).

Program sempena bulan nutrisi Malaysia itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan mendorong tabiat pemakanan sihat dalam kalangan ibu bapa dan pelajar sekolah dengan mendidik mereka mengenai prinsip asas pemakanan sihat.

Katanya, antara aktiviti yang diadakan dalam siri jelajah itu adalah permainan Tic Tac Tuna yang memberi maklumat berguna kepada pelajar mengenai kebaikan tuna sebagai sumber asli protein dan omega-3.

"Sepanjang kerjasama bermanfaat dengan NSM itu, kami berjaya mendapat penyertaan seramai 3,600 pelajar sekolah sejak tiga tahun ia mula dianjurkan.

"Siri jelajah ini menjadi platform dalam menyampaikan mesej penting tabiat pemakanan yang baik kepada golongan kanak-kanak sekolah dalam cara yang kreatif dan menghiburkan," ujarnya.

Sementara itu, jenama berkenaan turut melancarkan sekolah memasak di pusat permainan berasaskan pembelajaran KidZania untuk kanak-kanak berusia antara empat hingga 14 tahun.

Di situ, mereka dapat merasai pengalaman menyediakan makanan yang lazat serta berkhasiat dan sesuai dihasilkan sendiri di rumah dengan menggunakan bahan sihat.

Menu yang disediakan bagaimanapun ditukar setiap masa bagi membolehkan pengunjung setia mencuba resipi baru untuk dimasak.

Usaha berterusan jenama itu dalam penjenamaan, pemasaran, kerja kemasyarakatan serta pendidikan mengenai tabiat pemakanan sihat diiktiraf oleh pengguna dan disenaraikan antara lima jenama pilihan terbaik di Malaysia Kantar Worldpanel's 2014 Brand Footprint Study.

Kepercayaan rakyat Malaysia juga melayakkan jenama itu dipilih antara tiga Jenama Pilihan Terbaik di Malaysia bagi Kategori Makanan dan Minuman dalam tinjauan yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 10:22 PM