DULU. Batu Gajah mempunyai pejabat pos dan telegraf sejak 1889.
DULU. Batu Gajah mempunyai pejabat pos dan telegraf sejak 1889.
KINI. Pejabat baru yang lebih moden
KINI. Pejabat baru yang lebih moden
DULU. Jejambat pekan baru di Batu Gajah dibina selepas mengambil kira kepadatan penduduk
DULU. Jejambat pekan baru di Batu Gajah dibina selepas mengambil kira kepadatan penduduk
KINI.  Jalan raya dan sistem trafik semakin lancar sesuai dengan pertambahan pengguna jalan raya.
KINI. Jalan raya dan sistem trafik semakin lancar sesuai dengan pertambahan pengguna jalan raya.
DULU. Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah di Jalan Mat Saman, Batu Gajah.
DULU. Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah di Jalan Mat Saman, Batu Gajah.
KINI. Masih kekal di lokasi yang sama tetapi bangunan mengalami penstrukturan semula.
KINI. Masih kekal di lokasi yang sama tetapi bangunan mengalami penstrukturan semula.
DULU. Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dahulunya terletak di Jalan Changkat.
DULU. Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dahulunya terletak di Jalan Changkat.
KINI. Dipindahkan ke Jalan Haji Abdul Wahab dengan bangunan besar sejajar fungsinya.
KINI. Dipindahkan ke Jalan Haji Abdul Wahab dengan bangunan besar sejajar fungsinya.
Razif Rosli


Bandar Batu Gajah cukup dikenali antara kawasan kegiatan perlombongan bijih timah selain mempunyai latar belakang pelbagai sejarah menarik di Perak.

Bandar di mukim Sungai Terap dalam jajahan Kinta ini juga adalah tempat kelahiran Sultan Perak ke-34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Batu Gajah dibuka sejak 1880-an dan dikatakan tempat pertemuan pembesar Tanah Melayu pada masa itu.

Di Batu Gajah pada masa itu ada gelanggang perlumbaan kuda dan haiwan itu datang dari Pahang, Johor dan negeri lain untuk berlumba termasuk kewujudan kelab bagi tujuan perjumpaan oleh pembesar serta pegawai kerajaan.

Jika mengikut bukti yang ada melalui diari JWW Birch, Residen British pertama di Perak, beliau pernah melawat Batu Gajah pada 30 April 1875.

Malah dalam catatannya itu, beliau ada menyebut Batu Gajah sebagai sebuah kampung yang besar di tepi Sungai Kinta dan terdapat sebuah relau yang besar untuk melebur bijih timah.

Sepanjang 1890-an sehingga 1900-an, pembangunan di Batu Gajah agak pesat apabila British mendirikan pejabat daerah, mahkamah majistret, pejabat tanah dan galian sekitar 1892.

Bukan itu sahaja, balai polis, penjara dan hospital yang sudah berusia lebih 100 tahun masih tersergam utuh.

Malah kekayaan hasil bumi Batu Gajah ketika itu menarik minat ahli kaji bumi pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu John Brooke Scrivenor ke Malaya pada September 1903.

Bayangkan John Brooke melihat potensi Batu Gajah pada masa itu hingga memindahkan pusat kaji bumi di Kuala Lumpur ke Batu Gajah pada 1908.

Bukan itu sahaja, sebelum itu lagi British menghubungkan Batu Gajah dengan Tapah Road dan Teluk Intan melalui pembinaan landasan kereta api pada 1893 dan pada tahun berikutnya landasan kereta api Ipoh ke Batu Gajah disambung dengan Kota Bahru, Gopeng.

Bagi Md Redzuan Mohamad, 64, pekan Batu Gajah amat sinonim dengannya apatah lagi beliau membesar di Batu Gajah dan menetap di sini sehingga hari ini.

Katanya, Batu Gajah kini turut mengikut arus permodenan malah banyak perubahan yang berlaku sepanjang beliau menetap di bumi bertuah itu.

“Saya masih ingat, jika dulu Masjid Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Masjid Toh Puan Besar Hatijah tidaklah seperti sekarang yang tersergam indah dan ia menjadi antara bangunan yang dibanggakan penduduk pekan ini.

“Begitu juga kemudahan lain seperti Pejabat Pos Batu Gajah, ia masih kekal di tapak asal bangunan lama. Batu Gajah dekat di hati Almarhum Sultan Azlan, itu sebab ia dikenali dengan nama Batu Gajah Bandar Bertuah,” katanya.

Katanya lagi, sebelum jejambat pekan baru dibina, orang ramai perlu melalui jalan kereta api dan kenderaan perlu beratur panjang bagi memberi laluan.

“Baik apa jua kenderaan, semua kena tunggu kereta api melintas, barulah boleh jalan, generasi sekarang tak jumpa lagi perkara sedemikian.

“Oleh kerana pesatnya membangun, satu jejambat dibina dan jalan itu pun dah ditutup, ini semua kenangan yang menggamit memori saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 10:26 AM