LEFTENAN Adnan Saidi
LEFTENAN Adnan Saidi
RONALD Charles M Kindersley
RONALD Charles M Kindersley
 GOH Ah Ngee
GOH Ah Ngee
LOW Ti Kok
LOW Ti Kok
EMPAT tokoh dari Kajang yang dipamerkan di Pusat Warisan Komuniti Kajang.
EMPAT tokoh dari Kajang yang dipamerkan di Pusat Warisan Komuniti Kajang.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Leftenan Adnan Saidi, Ronald Charles M Kindersley, Goh Ah Ngee dan Low Ti Kok.

Mungkin, dalam susunan nama itu hanya Leftenan Adnan Saidi dikenali kerana kisahnya sebagai pegawai tentera yang terbunuh dalam pertempuran di Bukit Candu, Singapura.

Meskipun perjuangan Leftenan Adnan berakhir dengan kesedihan akibat dibunuh tentera Jepun tetapi keberaniannya bersama 42 Askar Melayu yang bertempur bermati-matian mempertahankan Permatang Pasir Panjang dikagumi dan kekal dalam lipatan sejarah.

Umum mengetahui Allahyarham adalah tokoh dari Kajang dan dilahirkan di daerah berkenaan.

Namun, tiga yang lain iaitu Ronald Charles M Kindersley, Goh Ah Ngee dan Low Ti Kok juga dianggap tokoh Kajang meskipun mereka tidak dilahirkan di daerah terbabit.

Pengiktirafan itu diberikan kerana sumbangan mereka memajukan Kajang terutama dalam sektor ekonomi dengan memperkenalkan aktiviti perlombongan bijih timah dan penanaman pokok getah.

Pengarah Pusat Warisan Komuniti Kajang Lee Kim Sin berkata, Ah Ngee adalah pemilik lombong di Kajang kerana mendiang membuka lombong bijih timah dan estet getah di Lembah Balau di daerah berkenaan pada 1980-an.

“Mendiang juga membina jalan daripada estet di Lembah Balau menghala ke Broga hingga ke Semenyih.

“Ah Ngee juga sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk membuka jalan itu bagi memudahkan mengeluarkan hasil bijih timah dan getah sebelum dijual,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, mendiang yang beragama Katolik bermurah hati apabila sanggup memberi tanah di pekan Kajang untuk dijadikan tapak gereja dan tanah perkuburan.

“Terdapat jalan di Kampung Baru Sungai Chua, Kajang dinamakan Jalan Goh Ah Ngee oleh British bagi mengenang sumbangan mendiang,” katanya.

Lee berkata, Ti Kok berasal dari China yang berhijrah ke Ulu Yam sebelum menetap dan meninggal dunia di Kajang.

“Mendiang antara orang paling kaya di Kajang yang datang ke daerah ini untuk menanam pokok getah dan membuka lombong bijih timah.

“Selain menjadi tokoh yang menentang penjajahan Jepun ketika Perang Dunia Kedua, Ti Kok juga pengasas Sekolah Yu Hwa dan Sekolah Tinggi Kajang,” katanya.

Katanya, mendiang meninggal dunia pada tahun 1945 di sebuah kebun miliknya di Sungai Jelok selepas menyorok dalam kebun itu bagi mengelakkan dibunuh tentera Jepun.

“Selepas tentera Jepun menyerah kalah, barulah kuburnya dibina di pekan Kajang.

“Pihak British turut menamakan salah satu jalan di Kajang sebagai Jalan Low Ti Kok bagi memperingati jasa mendiang,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi tokoh Kajang iaitu Ronald Charles M Kindersley adalah individu pertama yang membuka tanah seluas 208 hektar untuk menanam pokok getah.

Katanya, selepas tanaman itu berjaya, ramai orang British datang melabur dan turut menanam pokok getah sekitar Kajang.

“Mendiang berasal dari British dan datang ke Kajang pada 1890-an, menjadi pelopor kegiatan penanaman pokok getah di daerah ini.

“Seperti tokoh yang lain, nama Kindersley turut diabadikan dengan menamakan satu jalan di Kajang dengan namanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 9:54 AM