WARISAN kapal korek TT5 adalah yang terakhir di Tanjung Tualang.
WARISAN kapal korek TT5 adalah yang terakhir di Tanjung Tualang.
Nurul Husna Mahmud

SATU ketika dulu, Perak antara pengeluar utama bijih timah dunia sehingga menarik Syarikat Hindia Timur Belanda datang dan monopoli perniagaan berkenaan.

Dalam satu catatan sejarah dikatakan terdapat perjanjian untuk membina Kota Belanda bagi syarikat itu di Perak disebabkan aktiviti pelombongan bijih timah.

Malah dikatakan juga orang Melayu yang menjalankan aktiviti pelombongan secara tradisi dengan kaedah mendulang dan melampan sebelum menggunakan jentera pengorek, pam kelikir serta kapal pengorek.

Kini menarik kunjungan orang ramai ke negeri berkenaan untuk melihat tinggalan termasuk Kota Belanda itu sendiri di Pangkor yang dikatakan menjadi tempat simpanan dan gudang bijih timah sebelum dibawa keluar syarikat berkenaan.

Namun itu hanya picisan sejarah dalam memahami aktiviti pelombongan bijih galian itu yang bermula sejak 1848 sehingga harga bijih itu murudum pada 1982.

Dalam menyusuri sejarah itu, rasanya pengembaraan tidak akan lengkap jika tidak mengunjungi warisan akhir industri perlombongan bijih timah itu di Tanjung Tualang, Batu Gajah, Perak.

RUANG dalam menjadi tempat mengangkut dan mengumpul bijih timah.
RUANG dalam menjadi tempat mengangkut dan mengumpul bijih timah.

RUANG kawalan kendali operasi kapal.
RUANG kawalan kendali operasi kapal.

Destinasi dikenali sebagai Tanjung Tualang Tin Dredge No 5 (TT5) adalah merujuk kepada nombor kapal korek terakhir yang ada di Tanjung Tualang iaitu kapal kelima.

Ini kerana satu ketika dahulu ia adalah kawasan cukup sibuk dan mempunyai beberapa siri kapal dibawa masuk bagi menampung keperluan industri berkenaan.

Bagi anda yang ingin mengunjungi lokasi ini, ia terletak dalam kawasan Tanjung Tualang yang juga terkenal dalam kalangan pemancing udang galah. Jarak pemanduan kira-kira 30 kilometer dengan masa perjalanan 40 minit dari bandar Ipoh.

Menjengah kapal korek berkenaan adalah pengalaman yang tentunya membawa anda kembali ke zaman atau persekitaran perlombongan.

Kapal korek itu satu-satunya yang masih tinggal dek penangan penurunan harga timah membuatkan banyak operasi pelombongan bijih itu ditutup dan kapal pengorek pula dijual.

Selain pengalaman sebenar berada dalam sebuah kapal korek dan memahami bagaimana operasi perlombongan, fenomena persekitaran kawasan itu juga cukup menarik terutama pemandangan senjanya.

PEKAN Udang Galah adalah pekan terdekat dengan kapal korek berkenaan.
PEKAN Udang Galah adalah pekan terdekat dengan kapal korek berkenaan.

HIDANGAN mi udang terdapat di Tanjung Tualang.
HIDANGAN mi udang terdapat di Tanjung Tualang.

Latar yang dikelilingi tasik yang diserikan dengan teratai dan keladi memberi visual mengagumkan buat anda yang gemar merakam foto dengan pemandangan unik.

Selain menjadi pusat pendidikan dan kajian penting disebabkan usia kapal ini yang pernah beroperasi selama 44 tahun, teknologi pembuatannya juga menarik untuk difahami sejak ia dibina di England oleh F W Payne & Sons pada 1938.

Kapal yang mempunyai berat 4,500 tan ini mempunyai kemampuan mengorek sehingga kedalaman 33 meter dan berkapasiti 358,000 meter padu pada satu-satu masa ia beroperasi. Pengunjung boleh lihat sendiri bakul pengorek yang mengangkut dan mengumpul bijih besi.

TT5 itu juga diisytiharkan sebagai Geopark Lembah Kinta pada Oktober 2018 iaitu sebahagian tapak warisan perlombongan bijih timah di Malaysia.

Selepas puas menikmati pemandangan sekitar, pengunjung boleh bersiar-siar dan mendekati penduduk tempatan di Pekan Udang Galah.

Bagi anda yang sukakan hidangan udang galah boleh mencuba hidangan sungai itu di restoran tempatan yang terdapat di pekan berkenaan.

Rasa manis dengan isi pejal membuatkan hidangan seperti mi udang antara menu popular yang boleh dinikmati pengunjung yang datang ke lokasi terbabit.

REPLIKA membantu pemahaman penuh mengenai aktiviti perlombongan.
REPLIKA membantu pemahaman penuh mengenai aktiviti perlombongan.

Selain lokasi itu, pengunjung boleh menyambung perjalanan ke destinasi Muzium Pelombongan Bijih Timah Kinta di Kampar bagi mendapat pengetahuan menyeluruh mengenai sejarah industri bijih timah itu.

Muzium berkenaan diilhamkan Tan Sri Hew See Tong iaitu bekas pemilik lombong bijih timah yang beroperasi sejak 1949 sehingga 1989.

Dalam muzium berkenaan, pengunjung berpeluang melihat pameran atau replika menggambarkan suasana di kawasan lombong dan bagaimana aktiviti pelombongan dari tradisi sehingga adanya kapal korek.

Di sini pengunjung dapat memahami secara lebih mendalam menerusi keterangan dan gambar selain model patung yang menggayakan secara terperinci keadaan pekerja lombong satu ketika dulu.

Muzium berkenaan boleh dikunjungi setiap hari bermula jam 9 pagi dan untuk Isnin hingga Jumaat, ia dibuka sehingga jam 1 petang sementara Sabtu dan Ahad sehingga jam 4 petang.

TERSUSUN bahan pameran di muzium berkenaan.
TERSUSUN bahan pameran di muzium berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 7:01 AM