PETUGAS MBS bersama sukarelawan melakukan kerja pembersihan persekitaran laluan rel kereta api Seremban-Port Dickson yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun di Kampung Chedang, semalam. FOTO Bernama
PETUGAS MBS bersama sukarelawan melakukan kerja pembersihan persekitaran laluan rel kereta api Seremban-Port Dickson yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun di Kampung Chedang, semalam. FOTO Bernama
Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my


Seremban: Landasan kereta api berusia lebih 100 tahun yang pernah digunakan untuk tujuan pengangkutan bijih timah di Kampung Chedang di sini bakal menjadi satu lagi lokasi tarikan pelancongan di negeri ini kelak.

Difahamkan laluan kedua tertua di Malaysia selepas laluan kereta api (Kuala Sepetang) di Taiping, Perak itu kini hanya tinggal sepanjang 100 meter di kampung berkenaan dikenali sebagai Kampung Bakar Batu ketika itu.

Ketua Unit Pelancongan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Shamaruddin Saidin berkata, lokasi pelancongan terbaharu itu dikenali sebagai Laluan Keretapi Bersejarah Rahang yang mula dibina pada 1891 akan dibuka kepada orang ramai bermula Januari depan.

"Umum ketahui, laluan kereta api Seremban-Port Dickson adalah laluan kedua di Malaysia selepas laluan Kuala Sepetang. Landasan ini adalah laluan yang bersejarah dan penting semasa era penjajahan British.

"Landasan ini menghubungkan Seremban (Sungei Ujong) dan Port Dickson (Arang) serta menjadi pengangkutan terpenting bagi aktiviti pelombongan biji timah, kopi, sutera serta getah sebelum di eksport ke Eropah ketika itu," katanya, semalam.

Terdahulu beliau hadir pada program Gotong-Royong Rahang Historical Rail Tourism 2021 dianjurkan MBS bersama Pejabat Dun Rahang selain turut mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak SW Corp, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan, Keretapi Tanah Melayu (KTM), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), pemimpin masyarakat dan orang awam.

Katanya, program itu disertai 70 peserta bertujuan membangunkan produk pelancongan di kawasan itu yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

"Program gotong-royong ini dimulakan dengan membersihkan kawasan laluan dari jambatan dan mengecat pagar lama kereta api yang terdapat di Jalan Rasah.

"Dalam pada itu, program gotong-royong yang diadakan ini berkonsepkan dengan pembabitan masyarakat setempat yang turut memelihara dan memulihara khazanah warisan yang sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 7:01 AM