KHALIL (kanan) bersama Jamaludin mengeluarkan bingka tempahan pelanggan daripada ketuhar.
KHALIL (kanan) bersama Jamaludin mengeluarkan bingka tempahan pelanggan daripada ketuhar.
Siti Zarinah Sahib


Aroma ‘kemanisan’ mentega dan keju daripada ketuhar memenuhi ruang legar kediaman jenis kondominium milik Abd Khalil Hashim, 35. Hampir 40 minit dibakar, keharuman kek hummingbird hasil tangan anak muda ini begitu ‘mengasyikkan’ dan lazat.

Selain kek, tart keju dan manisan Abd Khalil turut menyediakan bingka ubi kayu, seri muka, cucur badak dan juga roti jala yang mendapat permintaan tinggi terutama tempahan menerusi talian. Malah sepanjang Syawal lalu, dia bersama rakan perniagaan Jamaludin Che Wan, 45, tidak menang tangan menyediakan pelbagai masakan untuk rumah terbuka, hari jadi dan undangan syarikat korporat. Bekerja setiap hari tanpa cuti, bangun awal pagi dan membuat penghantaran di sekitar Lembah Klang adalah rutin harian yang dilakukan dua sahabat baik ini.

“Bermula seawal jam 4 pagi saya sudah berada di dapur menyediakan pelbagai hidangan. Dibantu Jamaludin kami bersama memasak juadah hingga kira-kira jam 7 pagi sebelum urusan penghantaran bergantung kepada lokasi pelanggan. Selain memasak dan menghias makanan, kami juga turut menjadi penghantar makanan.

Ada kala proses ini berlanjutan hingga ke petang sebelum mula membeli bahan untuk tempahan keesokan harinya pula,” katanya.

Menceburi bidang masakan yang ironinya dilakukan wanita menurut Khalil sebelum ini dia bekerja sebagai juruwang di kedai serbaneka dan pernah menceburi bidang perhotelan dan restoran makanan segera. Lama-kelamaan ada rasa kekosongan dalam diri membuatkan dia ingin berubah kerjaya.

“Saya terfikir sampai bila perlu makan gaji? Saya inginkan kehidupan lebih baik selepas ini dan hanya bekerja sendiri saja mampu memberikan kepuasan. Namun saya tidak tahu apakah bidang perniagaan yang akan diceburi. Kepakaran saya hanyalah memasak yang diwarisi daripada ibu dengan mahir membuat kuih tradisional dan tapai pulut,” katanya yang mula mengambil kelas membuat kek.

Berbekalkan kemahiran diperoleh, dia mula menjual kek lapis dan kek lain di kedai serta pejabat, kemudian menambah cabang perniagaan kepada dekorasi untuk hari jadi, hantaran serta perkahwinan. Bergandingan dengan Jamaludin ketika itu banyak tempahan diterima sehingga membuatkan mereka tidak menang tangan.

Lama-kelamaan apabila tempahan semakin banyak kedua-kedua berasakan perlunya mempelajari lebih banyak teknik memasak termasuk kuih-muih tradisional dan masakan barat disebabkan kebanyakan pelanggan bertanya berkenaan makanan lain yang boleh disediakan.

KHALIL (kiri) dan Jamaludin bersama makanan yang sudah sedia dibungkus untuk penghantaran kepada pelanggan.
KHALIL (kiri) dan Jamaludin bersama makanan yang sudah sedia dibungkus untuk penghantaran kepada pelanggan.

“Ketika mengikuti kelas memasak, guru yang mengajar memberitahu untuk berjaya dalam perniagaan seseorang itu perlu mahir memasak pelbagai jenis hidangan seperti kuih-muih, mi dan bihun, nasi, manisan dan juga masakan barat. Sedikit demi sedikit saya menyahut cabaran ini dan mula mengikut kelas membuat kuih tradisional antaranya bingka, kuih talam dan cucur badak.

“Bukan setakat belajar secara praktikal saya juga membeli bermacam-macam jenis majalah dari dalam dan luar negara untuk mendapatkan resipi. Alhamdulillah menerusi buku ini saya mendapat banyak ilmu yang dapat dipraktikkan ketika memasak. Ada juga resipi yang perlu diubah suai bahannya supaya sesuai dengan selera orang Melayu,” katanya.

Bermula enam pek makanan

Melengkapkan diri dengan ilmu memasak, bermula enam pek makanan menerusi jenama AJ Menu, Khalil memperluaskan promosi dengan membuka tempahan dalam jumlah yang besar. Mulanya hanya kek kemudian ditambah kepada kuih-muih dan makanan berat seperti bihun, mi atau nasi.

“Ada juga pelanggan yang meminta saya menyediakan hidangan tiada dalam senarai. Sebagai pengusaha seboleh-bolehnya saya tidak mahu menolak permintaan pelanggan. Apa saja kehendak mereka akan saya tunaikan bergantung kepada kemampuan. Setakat ini kami tidak menghadapi sebarang masalah kerana setiap tempahan dapat disediakan mengikut waktunya,” katanya yang menggalakkan pelanggan membuat tempahan empat hari awal sebelum acara berlangsung bagi memudahkan urusan pembelian bahan makanan.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut Khalil sepanjang menjalankan perniagaan makanan, cabaran paling utama adalah masa. Ini kerana bermula daripada membeli perkakasan makanan, memasak, pembungkusan sehingga penghantaran dilakukan mereka berdua. Jadi jadual sudah sedia tersusun seminggu awal agar proses penyediaan berjalan lancar.

“Perkara paling mencabar adalah penghantaran makanan kerana hidangan perlu sampai ke tangan pelanggan satu jam lebih awal. Ini bagi memastikan perkara di luar jangkaan seperti kesesakan lalu lintas, hujan atau masalah teknikal yang lain. Bukan kami tidak mampu melantik penghantar makanan tetap tetapi dengan cara menghantar sendiri, membolehkan kami bertemu pelanggan secara lebih dekat seterusnya mendengar luahan hati mereka. Mungkin ada komen membina agar kami dapat memperbaiki perkhidmatan dan menambah pelanggan baru,” katanya yang menetap di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Khalil yang sering menghadiri kelas memasak mengakui kemahiran dipelajari belum mencukupi kerana seni masakan cepat berubah. Ada saja menu hidangan baru silih berganti. Oleh itu dia perlu pantas meluaskan ilmu agar tidak ketinggalan. Di antara semua jenis masakan paling diminati adalah masakan Melayu termasuk kuih-muih tradisi. Bahan digunakan tidak banyak dan mudah diperoleh namun teknik memasak sangat ‘renyah’ dan teliti.

ANTARA koleksi buku resipi dalam dan luar negara.
ANTARA koleksi buku resipi dalam dan luar negara.

“Kuih tradisi perlu dimasak berkali-kali untuk mendapat hasil yang diingini. Kadang-kadang tidak boleh mengikut resipi sebenar kerana perlu olahan mengikut kreativiti. Contohnya mengurangkan gula supaya tidak terlalu manis. Bagi kuih berinti pula saya perlu memastikan ia tidak cepat basi dan tahan untuk hidangan tetamu. Apabila kuih menjadi dan sedap itulah kepuasan yang sukar digambarkan,” kata anak jati Alor Setar Kedah ini.

Mengakui seorang yang kuat semangat dan tidak mahu menyerah kalah, bagi Khalil apa saja dilakukan perlu disertakan dengan ‘jiwa’ serta hati. Selama ini memasak hanya sekadar minat dan dilakukan sekadar suka-suka namun sejak menjalankan perniagaan sepenuh masa keikhlasan dan kejujuran perlu ada dalam diri. Jangan hanya inginkan keuntungan semata-mata hingga sanggup meminggirkan kualiti makanan.

“Perniagaan makanan bergantung kepada rasa sementara memasak memerlukan jiwa bagi mendapatkan hasil yang diinginkan. Sebab itu, sering kali terdengar pepatah mengatakan memasak dengan penuh kasih sayang menjadikan masakan enak dan sedap. Memang ia ada benarnya,” katanya.

Pada masa akan datang Khalil dan Jamaludin turut memasang impian ingin membuka kafe serta kedai kek bagi menyediakan pelbagai jenis hidangan kepada pelanggan. Dia juga berharap dapat mencurahkan ilmu dalam bidang masakan dengan mengadakan kelas memasak kepada orang ramai.

“Sudah sampai masanya saya mencurahkan ilmu untuk sesiapa yang ingin membuka perniagaan atau untuk memasak sendiri di rumah. Saya berharap dapat merealisasikan impian ini pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 1:57 PM