DR Mohd Irwan Serigar (tengah)  bersama penerima anugerah CGP  di Auditorium Institut Pengurusan dan Pemantauan Penyelidikan, Universiti Malaya, semalam.
DR Mohd Irwan Serigar (tengah) bersama penerima anugerah CGP di Auditorium Institut Pengurusan dan Pemantauan Penyelidikan, Universiti Malaya, semalam.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Kerajaan akan melancarkan Hab Digital Malaysia untuk komuniti syarikat pemula, Mac depan yang dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, pengumuman rasmi akan dibuat pada Forum Transformasi Global (GTF) yang dijangka dihadiri bilionaire e-dagang dan pengasas Kumpulan Alibaba, Jack Ma serta pelari terpantas dunia dari Jamaica, Usain Bolt.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan anugerah kepada peserta ‘Program Coach and Grow (CGP)’ di sini, semalam.

Menurutnya, CGP yang khusus melatih usahawan syarikat pemula berjaya meraih perolehan terkumpul RM1.27 bilion sejak ia dimulakan pada 2011.

Program itu adalah kerjasama awam- swasta antara Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) dan rakan industrinya, Proficeo yang dijalankan bagi melatih syarikat tempatan meningkatkan keupayaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, program berkenaan kini memasuki musim ketiga dan ia tidak terhad kepada industri tertentu.

“Saya dimaklumkan program ini berjaya membantu syarikat tempatan yang menjalankan perniagaan menggunakan platform teknologi untuk berkembang hingga ke pasaran eksport.

“Malah, daripada jumlah dicatatkan, sekitar RM148.2 juta diperoleh daripada hasil eksport yang dihasilkan syarikat yang menyertai program ini dan berjaya menembusi 92 pasaran,” katanya.

Katanya, berikutan impak positif daripada alumni program itu, kerajaan memperuntukkan RM4 juta bagi CGP tahun ini yang dijangka dapat digunakan untuk melatih lebih banyak syarikat teknologi tempatan.

“Sejak dimulakan enam tahun lalu, ia berjaya membantu 366 syarikat dan 1,235 usahawan, malah sehingga kini, jumlah dana yang berjaya diperoleh peserta CGP sebanyak RM321 juta dengan 50 peratus daripadanya adalah hasil dana swasta,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan mengadakan lebih banyak program seumpama ini berikutan 2017 adalah tahun untuk syarikat pemula.

“Kami bekerjasama dengan pelbagai agensi yang mempunyai peruntukan masing-masing bagi melatih lebih ramai usahawan khususnya golongan muda. Banyak dana ditawarkan, namun ia bergantung kepada keupayaan syarikat untuk membuktikan kebolehpasaran syarikat masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 8:35 AM