RAZIF. FOTO Eizairi Shamsudin
RAZIF. FOTO Eizairi Shamsudin
BERNAMA

CRADLE Fund Sdn Bhd menyasarkan untuk menawarkan pelbagai siri geran baharu pada suku kedua tahun ini susulan peruntukan RM20 juta yang disalurkan menerusi Belanjawan 2020.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Razif Abdul Aziz berkata, geran baharu itu akan menggantikan Program Pelaburan Cradle 300 (CIP300) dan menumpukan syarikat pemula niaga berkaitan teknologi.

Program CIP300 itu menyediakan geran bersyarat dan bantuan nilai tambah hingga RM300,000 untuk usahawan berminat memulakan syarikat pemula niaga teknologi berteraskan inovasi bagi memajukan serta pengkomersialan produk atau perkhidmatan mereka.

“Kami menyasarkan untuk melancarkan geran itu pada minggu pertama April dan permohonannya akan dibuka pada masa itu,” katanya selepas majlis pelancaran Program Coach and Grow (CGP) 2020 di Petaling Jaya, semalam.

Razif yang enggan mendedahkan butiran lanjut geran baharu itu berkata, pihaknya kini di peringkat akhir rundingan dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) dan Kementerian Kewangan bagi memperhalusi produk terbabit.

“Kami masih menunggu kelulusan akhir daripada kedua-dua kementerian itu,” katanya.

Ditanya sama ada perubahan kepemimpinan kerajaan akan menjejaskan pengenalan geran baharu itu, beliau berkata, ini mungkin tidak berlaku kerana syarikat menerima peruntukan RM20 juta.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai sebarang perubahan kerajaan tetapi kami akan meneruskan usaha untuk melaksanakan arahan terakhir (kerajaan terdahulu),” katanya.

Mengulas impak Covid-19, Razif berkata, setakat ini, Cradle Fund belum menerima sebarang permintaan daripada syarikat pemula niaga yang mahukan kelonggaran seperti lanjutan indeks prestasi utama atau sasaran masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan mempertimbang aspek kelonggaran itu jika syarikat pemula niaga dalam sektor pelancongan terjejas akibat penularan virus itu.

“Kerajaan (sebelum ini) melancarkan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu perniagaan. Oleh itu, pasti kami akan mempertimbangkannya.

“Bagi kes asli misalnya, kami mungkin membenarkan kelonggaran bagi syarikat pemula niaga terbabit,” katanya.

CGP yang dianjurkan bersama Proficeo Consultants Sdn Bhd adalah program bimbingan khusus untuk syarikat pemula niaga dan syarikat di peringkat awal pertumbuhan untuk membolehkan mereka menjana pendapatan yang mampan.

Terdahulu ketika berucap, Razif berkata, pihaknya menyasarkan 120 syarikat dan 340 usahawan untuk menyertai CGP 2020.

Sejak diperkenalkan pada 2011, program bimbingan itu berjaya membantu 469 syarikat dan 1,657 usahawan.

Setakat ini, syarikat yang menyertai program selama 12 bulan itu mampu meraih hasil melebihi RM2 bilion manakala perolehan eksport lebih RM310 juta selain mengumpul dana berjumlah lebih RM436 juta.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 8:56 AM