SKUTER baharu Kawasaki J300.
SKUTER baharu Kawasaki J300.
KAWASAKI Z125 Pro.
KAWASAKI Z125 Pro.
KAWASAKI Ninja ZX-10R.
KAWASAKI Ninja ZX-10R.
Oleh Erywan Norshal


Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) mengakhiri kalendar 2015 dengan melancarkan tiga model motosikal baharu menerusi Kawasaki Ninja ZX-10R, J300 dan Z125 Pro.

Kawasaki Ninja ZX-10R model 2016 kini hadir dengan lebih menarik apabila spesifikasi motosikal kategori superbike itu hampir menyamai jentera perlumbaan.

Ia didatangkan dengan komponen perlumbaan yang dibangunkan menerusi maklum balas daripada juara Pasukan Perlumbaan Kawasaki Superbike Dunia membabitkan Tom Sykes dan Jonathan Rea.

Maklum balas diterima itu menjadi inspirasi bahagian Pembangunan dan Penyelidikan Kawasaki untuk menggantikan hampir semua bahagian enjin empat silinder sebaris 998cc selepas diperkenalkan pada 2011 itu.

Penukaran komponen baru membabitkan omboh, aci sesondol silinder dan gear rendah, manakala aci oleng ringan serta injap kemasukan direka semula dengan pendikit elektronik, kotak udara yang 25 peratus lebih besar.

Kepala silinder dan engkol turut ditukar baru serta 20 peratus lebih ringan bagi membolehkan enjin berputar lebih cepat atau sebaliknya sekali gus meningkatkan pecutan dengan berkesan.

Hasilnya, ia menyalurkan kuasa maksimum mencecah 210hp pada 13,000rpm dengan dan tork puncak sehingga 113.5Nm pada 11,500rpm.

Kuasa maksimum itu boleh dikatakan hampir sama berbanding model terdahulu, tetapi enjin baharu berkenaan menawarkan puncak rpm lebih tinggi dengan tork julat rpm sederhana yang kuat serta mematuhi keperluan pelepasan Euro 4.

Kawasaki Ninja ZX-10R menggunakan sistem brek pintar (KIBS) yang menghubungkan unit kawalan ABS dengan kawalan elektronik enjin. Sistem itu memantau kelajuan roda, kedudukan pendikit dan gear, kelajuan enjin serta pergerakan klac untuk menentukan tekanan hidraulik brek yang ideal.

Ia juga mencipta sejarah apabila komponen itu menjadi model pertama yang digunakan dalam motosikal pengeluaran, selain dipadankan kit suspensi terkini Showa.

Menyedari keperluan untuk sebuah pengangkutan urban yang inovatif, Kawasaki mengorak langkah baru dengan memperkenalkan motosikal skuter pertama menerusi J300.

Kawasaki J300 sebelum ini menerima sambutan baik pasaran skuter di Eropah dengan pakej prestasi sports, kawalan serta kemudahan bagi menungang berulang-alik ke tempat kerja.

Reka bentuk J300 tampil dengan garis sudut dan rekaan lampu yang kemas, tajam serta agresif daripada bentuk Kawasaki Ninja. Ia menggunakan enjin bersesaran 299cc sejukan cecair dengan padanan transmisi CVT yang menyalurkan 27.2bhp.

Sementara itu, Kawasaki Z125 Pro adalah motosikal supernaked versi kecil dalam keluarga Kawasaki Z800 dan Z1000.

Sistem ekzos diletakkan padat di bahagian bawah dengan reka bentuk tangki minyak memanjang seperti Kawasaki Z800 dan Z1000.

Kawasaki Z125 Pro dikuasai enjin 125cc satu silinder yang dipadankan transmisi manual empat kelajuan. Ianya mampu menjana kuasa maksimum 9.5PS dengan tork setinggi 9.5Nm tork pada 6,000rpm. Kapasiti tangki bahan api adalah 7.4 liter bagi menjanjikan perjalanan lebih jauh.

Harga bagi Kawasaki Ninja ZX-10R adalah kurang RM99,000 yang ditawarkan dengan dua varian membabitkan edisi KRT dan Winter.

Bagi segmen baru menerusi model skuter Kawasaki J300 ABS ditawarkan dengan warna kelabu dan putih yang dijual kurang RM29,800.

Kawasaki Z125 Pro pula dijual pada kurang RM9,900 yang mempunyai warna hijau dan oren. Bagaimanapun, harga itu tidak termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:01 AM