SUSUK Ninja 650 bergaya.
SUSUK Ninja 650 bergaya.

Selepas dipertontonkan kepada umum bulan lalu, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd mengumumkan Kawasaki Ninja 650 dijual pada harga RM37,189 termasuk GST.

Harga diumumkan secara rasmi lebih murah berbanding ketika pengenalannya sekitar RM38,000.

Bagaimanapun, harga bagi Ninja 650 Edisi Khas (SE) dijual pada harga RM38,189 berikutan beberapa penambahan menjadikannya lebih sporty.

Antaranya penutup pelana tunggal, pelindung angin gelap, jalur rim dan penghadang radiator.

Kawasaki Ninja 650 serba baru dijana enjin berkembar selari 650cc dengan tumpuan julat rendah-pertengahan yang kuat dan pakej casis ringan serta tirus.

Jentera kelas pertengahan ini memberi pilihan alternatif kepada penunggang yang gemarkan motosikal berfairing penuh.

Wajah agresif Ninja 650 direka dengan bentuk fizikal yang tirus dan padat, khas untuk memberikan imej motosikal ringan, lincah serta sporty.

Dibekalkan dengan nadi 649cc sejukan cecair DOHC lapan injap suntikan bahan api menawarkan kuasa maksimum 68PS pada 8,000rpm manakala tork setinggi 65.7Nm pada 6,500rpm.

Ninja 650 dilengkapi Sistem Anti-Kekunci (ABS) Bosch 9.1M bersama brek cakera kelopak depan berkembar bersaiz 300mm dan cakera tunggal belakang bersaiz 220mm.

Gabungan angkup hadapan dwi-piston, silinder induk dan pad brek menawarkan sentuhan brek terbaik. Ini membolehkan kuasa membrek yang optimum disamping menyumbang kepada imej sporty.

Antara ciri baru Ninja 650 ABS ini ialah ketinggian tempat duduk yang serendah 790mm dan casis tirus memudahkan kaki menjejak permukaan jalan raya.

Motosikal ini juga dilengkapi cermin pelindung angin depan sporty boleh laras. Lampu belakang LED berbentuk X menambahkan lagi imej soprty jentera. Ninja 650 serba baru ini boleh didapati dalam dua warna antaranya hijau dan jingga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:03 AM