KAWASAKI pertaruh empat model CBU untuk pasaran tempatan.
KAWASAKI pertaruh empat model CBU untuk pasaran tempatan.
Mohd Razlan Salleh


Tidak menunggu lama, Kawasaki Motor Malaysia (Kawasaki) melancarkan empat model terbaru yang diimport sepenuhnya (CBU) yang bakal menjengah pasaran bermula Mac depan.

Antara model diperkenalkan ialah Z900, Ninja 650, Z650 yang dilengkapi Brek Anti Kekunci (ABS) sebagai ciri standard manakala Versys-X 250 untuk tunggangan lasak.

Kawasaki Z900 ABS

Ahli keluarga baru siri Z ini hadir bersama gaya lebih agresif, bersesuaian dengan ciri ‘Z Supernaked’ bersama paduan enjin lebih berkuasa.

Elemen reka bentuk Sugomi seperti dalam posisi ‘ingin menyerang’ memberi bayangan Z900 berbeza dengan penampilan tegap hasil rekaan tirus, tangkas dan sporty.

Sebagai motosikal yang memenuhi ke­per­luan pelbagai penunggang dan berprestasi tinggi, model itu direka dengan prestasi Sugomi untuk keseronokan menunggang secara maksimum yang dilengkapi enjin empat selinder sebaris dalam kerangka ultra ringan serba baru.

Berkuasa 948cc sejukan cecair, model itu didatangkan bersama rangka keluli tegangan tinggi Trellis serba baru yang hanya seberat 13.5 kilogram (kg). Nadi baru ini menawarkan kuasa maksimum 92.2kW pada 9,500rpm manakala tork 98.6Nm pada 7,700rpm.

Kuasa membrek turut dipertingkatkan apabila brek cakera hadapan berkembar 300mm dengan empat angkup omboh manakala cakera tunggal 250mm di belakang.

Model baru ini dilengkapi Brek Anti Kekunci (ABS) Nissin sementara penyerap hentakan depan jenis terbalik bersaiz 41 milimeter (mm) dan spring bebanan boleh laras dalam tiub suspensi kiri.

Rupa bentuk meter baru pelbagai fungsi mempunyai susun atur mudah dibaca manakala takometer analog memaparkan kedudukan gear pada skrin LCD dan menawarkan tiga mod paparan boleh dipilih.

Takometer ini juga berfungsi sebagai penunjuk pertukaran gear, berkelip di set rpm ditentukan. Hadir dalam warna kelabu manakala edisi khas didatangkan dalam skim warna biru dan harga ditawarkan sekitar RM58,000.

Kawasaki Ninja 650 ABS

Kawasaki Ninja 650 serba baru dipadankan bersama enjin berkembar selari 650cc dengan tumpuan julat rendah-pertengahan kuat.

Pakej casis ringan dan tirus memberi pilihan alternatif kepada penunggang yang gemarkan motosikal berfairing penuh.

Wajah agresif Ninja 650 direka dengan bentuk fizikal tirus dan padat, khas untuk memberikan imej motosikal ringan, lincah serta mencerminkan prestasi sporty.

Enjin berkembar selari sejukan cecair, DOHC, lapan injap 649cc dengan suntikan bahan api mampu menyampaikan kuasa dengan lancar, prestasi responsif, terutamanya dalam julat rpm rendah dan sederhana.

Nadi ini menawarkan kuasa 68PS pada 8,000rpm manakala tork 65.7Nm pada 6,500rpm. Satu komponen utama untuk merealisasikan berat Ninja 650 menjadi lebih ringan adalah kerangka keluli tegangan tinggi serba baru seberat 15kg.

Ninja 650 dilengkapi dengan unit ABS Bosch 9.1M yang melengkapkan brek cakera depan berkembar bersaiz 300mm dan cakera tunggal belakang bersaiz 220mm.

Penyerap hentak hadapan teleskopik bersaiz 41mm untuk bertindak balas terhadap setiap ketidaksempurnaan permukaan jalan raya bagi mengasingkan kesan hentakan sementara suspensi belakang ‘back-link’ jenis mendatar merendahkan pusat graviti motosikal.

Meter pelbagai fungsi memaparkan takometer analog besar diapit lampu amaran dan penunjuk kedudukan gear serta skrin LCD pelbagai fungsi.

Satu lagi ciri yang boleh membangkitkan keterujaan peminat adalah lampu belakang LED yang menyala dalam bentuk ‘X’ menyumbang kepada imej sport. Ninja 650 ABS ditawarkan pada harga sekitar RM38,000.

Kawasaki Z650 ABS

Kawasaki Z650 serba baru ini mempunyai enjin berkembar selari dan berkapasiti 649cc dengan julat kuasa rendah-pertengahan yang kuat.

Casis ringan terbaru dalam pakej jentera kelas pertengahan ini lebih padat dan tirus untuk beroperasi dengan lebih prestasi dan gaya. Model baru ini sesuai untuk penunggang yang sukakan tunggangan tangkas mahupun sporty.

Didatangkan dengan pelindung angin hadapannya, dihiasi dengan penutup meter sehingga ke bahagian ekor, ia adalah rekaan yang mempunyai fungsi tersendiri.

Penalaan enjin berkembar selari 649cc Parallel Twin menawarkan kuasa 50.2kW pada 8,000rpm manakala tork 65.7Nm pada 6,500rpm. Model itu turut dilengkapi peralatan meter pelbagai fungsi yang mempunyai susun atur yang mudah untuk dibaca selain skrin LCD pelbagai fungsi.

Berharga sekitar RM37,000, Z650 boleh didapati dalam dua warna hijau dan ‘titanium’.

Kawasaki Versys-X 250

Motosikal Kawasaki Versys-X 250 menggabungkan gaya motosikal pengembaraan besar dengan jentera touring yang kecil. Versys-X berkebolehan untuk digunakan di atas sebarang permukaan jalan atau laluan apabila didatangkan dengan penyerap hentakan panjang, pemegang yang lebar dan kedudukan pelana rendah.

Kerangka teguh mampu menyerap gegaran dan hentakan yang dipadankan bersama penyerap hentakan panjang.

Roda depan bersaiz 19 inci manakala roda belakang bersaiz 17 inci jenis jejari menawarkan keupayaan lebih baik pada jalan tidak berturap.

Dijana enjin berkembar selari 249cc, Versys-X menawarkan kuasa 24.7kW pada 11,500rpm manakala tork 21.7Nm pada 10,000rpm. Berharga kurang RM25,000, Versys-X 250 boleh didapati dalam satu warna sahaja iaitu hijau limau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 5:02 AM