RUANG luas.
RUANG luas.
METER kelajuan.
METER kelajuan.
SENTUHAN rekaan Kawasaki Ninja.
SENTUHAN rekaan Kawasaki Ninja.
EKZOS gaya unik.
EKZOS gaya unik.
KAWASAKI J300.
KAWASAKI J300.

Penghujung tahun lalu, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) mengakhiri kalendar 2015 dengan mempertontonkan tiga model motosikal baharu menerusi Kawasaki Ninja ZX-10R, J300 dan Z125 Pro.

Daripada ketiga-tiga model itu, hanya Kawasaki J300 yang terlebih dahulu dilancarkan secara rasmi pada tahun ini dengan harga bermula RM31,489 atas jalan tidak termasuk insurans.

Kehadirannya juga mencipta sejarah buat KMSB apabila menjadi model skuter pertama diperkenalkan di negara ini selepas melihat permintaan motosikal kategori berkenaan semakin berkembang.

Bagi pasaran Eropah, Kawasaki J300 yang dikategorikan sebagai segmen ‘skuter-maxi’ dengan pakej prestasi sports, kawalan serta kemudahan bagi tunggangan berulang-alik ke tempat kerja, sudah pun menerima sambutan baik.

Biarpun di rantau berkenaan popular dengan nama Kawasaki, jentera itu sebenarnya hasil kerjasama dengan pengeluar motosikal daripada Taiwan, Kymco.

Bagaimanapun, Kawasaki J300 adalah lebih baik kerana pemilik boleh menikmati khidmat sokongan daripada KMSB seperti model rangkaian lain. Malah mengalami banyak perbezaan terutama dari segi bentuknya yang tampil dengan garis sudut dan rekaan lampu kemas, tajam serta agresif selepas menerima sentuhan rekaan Kawasaki Ninja.

Huruf ‘J’ pada motosikal sebenarnya itu diambil daripada perkataan ‘Jyounetsu’ yang bermaksud ghairah. Jadi. bagi mencungkil ‘keghairahan’ skuter itu, penulis diberi berpeluang menunggang ujinya dari Putrajaya ke Banting sebelum berpatah balik ke Putrajaya dengan jarak lebih 100 kilometer.

Secara pandangan mata kasar, motosikal ini tampak besar dan tinggi jika diukur badan penulis. Namun selepas menunggangnya, ia sebenarnya tidak sebesar yang disangkakan. Yang penting, penulis teruja dengan tempat duduknya kerana ia bersaiz lebar dan besar.

Selain itu, ia juga membuatkan rasa lebih santai ketika menunggang. Pada masa sama, penulis rasa seolah-olah duduk di atas kerusi kereta jenama premium.

Selain itu, Kawasaki J300 mempunyai ciri praktikaliti seperti skuter lain tetapi elemen disertakan sangat baik dan mesra pengguna terutama ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang luas, soket pengecas 12 volt serta tempat menyimpan barangan kecil seperti telefon atau bekas minuman di panel hadapan.

Sepanjang tunggangan di jalan Persekutuan, skuter ini tidak memberi sebarang masalah untuk meluncur di celah kenderaan kerana bentuknya sedikit kecil.

Posisi antara pemegang pendikit dan tempat duduk boleh dikatakan terbaik dan tidak membuatkan penulis cepat lenguh biarpun menunggang lebih satu jam. Kesalnya cuma, ruang kakinya sempit dan boleh menyeksa bagi penunggang tinggi lampai.

Keselesaan skuter itu terserlah dengan kualiti tetapan suspensinya apabila bertindak baik menyerap hentakan ketika melalui jalan tidak rata, selain pengendalian lebih stabil selepas menggunakan rim saiz berbeza iaitu 14 inci di hadapan, manakala belakang padanan 13 inci.

Berhubung prestasinya pula, enjin 299 cc ini berupaya menghasilkan 27.2 kuasa kuda yang mana sudah memadai untuk tunggangan biasa. Biarpun nampak kecil prestasi itu, ia sebenarnya boleh meluncur sehingga 160 kilometer sejam di lebuh raya.

Penulis juga masih yakin untuk melahu kelajuan itu bagi jarak jauh kerana rasa stabil dan tidak banyak gegaran. Cuma, sekiranya penghadang angin hadapan lebih tinggi, ia mungkin lebih baik ketika menunggang pada kelajuan itu.

Aspek keselamatan masih lagi terbaik dengan penggunaan ABS, selain disokong set tayar Maxxis yang berkualit untuk memberi cengkaman mengagumkan.

Bagi penulis, Kawasaki J300 adalah jentera yang bagus untuk ditunggang setiap hari, malah ia tidak membebankan pemiliknya selepas dilindungi tempoh jaminan dua tahun atau 20,000 km.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 5:11 AM