JASBIR (kiri) mahu adakan program TV sendiri. Marcus berjaya capai sasaran kedudukan tiga terbaik.
JASBIR (kiri) mahu adakan program TV sendiri. Marcus berjaya capai sasaran kedudukan tiga terbaik.
PESERTA MasterChef Asia ketika sambutan 10 Tahun Disneyland Hong Kong, baru-baru ini.
PESERTA MasterChef Asia ketika sambutan 10 Tahun Disneyland Hong Kong, baru-baru ini.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Program realiti masakan MasterChef Asia musim pertama menyaksikan dua peserta Malaysia layak ke kedudukan tiga terbaik, sekali gus berpeluang layak ke peringkat akhir.

Peserta negara yang terdiri daripada pengurus bank, Marcus Low dan suri rumah, Jasbir Kaur menerima komen baik daripada juri dan menempah tempat untuk bertarung di dapur MasterChef Asia bagi episod 14 bersama seorang lagi peserta dari Singapura, Leong.

Jasbir yang berasal dari Kuching, Sarawak gembira dapat terus beraksi di dapur MasterChef Asia serta mewakili negara untuk sampai ke peringkat selanjutnya dengan saingan mantap daripada semua peserta.

“Sejak awal lagi pesaing utama saya ialah Marcus dan Leong. Walaupun masih muda, tetapi mereka mempunyai pengetahuan dan teknik serta kombinasi rasa yang terbaik,” katanya.

Ditanya jika dapat mara ke peringkat akhir dan menjadi juara, Jasbir berkata, dia berhasrat menghasilkan program TV untuk mengajar ibu muda cara memasak yang lebih mudah dan sihat untuk keluarga mereka.

“Kebanyakan mereka yang menyokong saya terdiri daripada golongan muda dan itu cukup membuatkan saya terharu,” katanya ketika ditemui di Disneyland Hong Kong bersama Marcus dan peserta Masterchef Asia lain, baru-baru ini.

Sementara itu, Marcus berkata, sebelum ini Leong dan Lennard adalah pesaing paling sukar baginya kerana mempunyai gaya dan visi masakan yang hampir sama.

“Sejak awal memasuki MasterChef Asia, saya menanam impian untuk berada sekurang-kurangnya di kedudukan lima teratas. Pencapaian menjadi ketiga terbaik setakat ini juga membuatkan saya melihat impian saya sudah tercapai.

“Jika saya menjadi juara, perkara pertama adalah berterima kasih kepada semua yang menyokong saya. Menang atau kalah, saya akan memenuhi impian saya untuk membuka kedai pastri dan berharap ia akan popular di seluruh dunia kelak,” katanya.

Bersiaran sepanjang 15 minggu, MasterChef Asia menyaksikan 15 peserta dari tujuh negara termasuk Malaysia bersaing untuk merebut hadiah utama berupa wang tunai AS$50,000 serta peluang menghasilkan buku masakan sendiri.

Saksikan Jasbir, Marcus dan Leong berentap di dapur MasterChef Asia jam 9 malam ini di saluran Lifetime (Astro 709).

Dua peserta akan layak ke peringkat akhir yang berlangsung pada 10 Disember ini jam 9 malam.

MasterChef Asia musim pertama dipersembahkan oleh Lembaga Pelancongan Singapura dan Knorr dengan kerjasama Panasonic, Changi Airport Group, Hotel Carlton Singapura dan AirAsia.

Selain Malaysia, ia turut disertai peserta dari China, India, Indonesia, Singapura, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 9:16 AM