DARI kiri Audra, Susur dan Bruno.
DARI kiri Audra, Susur dan Bruno.
Oleh Georgie Joseph

Selepas popular di Amerika Syarikat dan Australia, program rea­liti Masterchef kini tampil dengan edisi Asia.

Sesi uji bakat bagi edisi sulung Masterchef Asia sudah diadakan secara ‘online’ awal tahun lalu.

Bakal ditayangkan tahun ini, pastinya ia memberi kesempatan kepada jaguh memasak rantau ini.

Selepas penyertaan ditutup Mac lalu, pihak penerbit memperkenalkan tiga juri program berkenaan, baru-baru ini.

Antaranya ialah chef berdarah Asia sendiri Susur Lee yang terkenal dengan gelaran ‘Father of Fusion’.

Susur sudah memenangi pelbagai anugerah kulinari termasuk disenaraikan sebagai 10 Chef Millenium oleh majalah Food and Wine.

Di samping itu, penerima anugerah American Academy of Hospitality Sciences itu adalah pemilik empat restoran mewah di Kanada dan Singapura.

Dia juga memegang jawatan Eksekutif Perunding Chef untuk TungLok Group yang memiliki 40 restoran di seluruh Asia selama 20 tahun.

Selain Susur ialah Chef Bruno Menard yang pernah menerima pengiktirafan Tiga Bintang Michelin untuk restorannya L’Osier di Tokyo, Jepun selain disenaraikan antara restoran Perancis terbaik di luar negara.

Bruno kini mengendalikan sebuah firma rundingan kulinari terbaik di Singapura.

Dia yang dilahirkan di Perancis mewarisi bakat bapa dan datuknya yang juga antara pengamal kulinari terkenal.

Dikenali sebagai Martha Stewart versi Asia, Audra Morrice satu-satunya juri wanita untuk program itu. Kejayaannya di Masterchef Australia benar-benar menaikkan namanya dalam dunia kulinari.

Bukan saja memiliki perniagaan katering yang sangat berjaya, dia juga kerap mengendalikan acara membabitkan restoran baru serta mengetuai kelas masakan di sekitar Asia Tenggara.

Dilahirkan di Singapura dan berbangsa Cina-India, Audra kini berpangkalan di Australia.

Sementara itu, Naib Presiden Senior Rancangan & Produksi A+E Networks Asia Michele Schofield berkata, pemilihan juri-juri terbabit adalah tepat serta kombinasi terbaik untuk Masterchef Asia pertama, sekali gus menjadikan program itu lebih berprestij.

“Kami sebenarnya mempunyai banyak nama untuk dipertimbangkan baik chef dari Asia mahupun luar rantau ini. Bagaimanapun, kami mahu seseorang yang mempunyai kombinasi ilmu, kesungguhan, karisma, dan mesra.

“Susur sendiri membawa elemen kepakaran yang sangat mengagumkan sebagai pejuang makanan Asia berserta ilmu teknikal hebat. Bruno pula sangat-sangat diakui kehebatannya dalam hidangan klasik. Audra yang masih kuat jiwanya dengan makanan-makanan Asia Tenggara pasti paling memahami peserta,” katanya.

Sebanyak 15 episod, Masterchef Asia bakal memperkenalkan peserta dari China, India, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam tidak lama lagi.

Bersiaran menerusi saluran Lifetime (Astro 709), program itu dijangkakan menemui penonton pada penghujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 11:26 AM