PENDATANG merayu polis Macedonia membenarkan mereka memasuki sempadan dari Greece dalam keadaan hujan lebat di Idomeni.
PENDATANG merayu polis Macedonia membenarkan mereka memasuki sempadan dari Greece dalam keadaan hujan lebat di Idomeni.

Idomeni (Greece): Polis Macedonia melepaskan gas pemedih mata terhadap ratusan pendatang, kebanyakannya warga Pakistan yang cuba merempuh masuk ke negara itu dari Greece dalam usaha untuk ke negara kaya di utara Eropah.

Keganasan terbaru itu tercetus selepas kira-kira 200 orang tidak dibenarkan menyeberang sempadan mula berjalan beberapa kilometer sepanjang pagar yang baru dibina untuk mencari laluan alternatif.

Polis Macedonia melepaskan gas pemedih mata untuk memaksa mereka berundur dan seorang anggota turut dilihat melepaskan tembakan ke udara.

Ketegangan turut berlaku pada hujung minggu lalu selepas seorang pendatang dipercayai warga Maghribi direnjat dan melecur teruk selepas memanjat bumbung gerabak kereta api.

Keputusan untuk menyaring pendatang berdasarkan kewarganegaraan itu mencetuskan kritikan kumpulan hak asasi manusia yang menganggap permohonan suaka sepatutnya diberikan atas dasar merit.

Menteri Migrasi Greece, Yannis Mouzalas berkata, kerajaannya cuba memujuk kira-kira 1,500 pendatang yang terkandas di sempadan supaya datang ke Athens dan memohon suaka di negara itu.

Ada pendatang terbabit memberitahu pihak berkuasa Greece mereka rela dihantar pulang ke negara asal, namun kerajaan Pakistan setakat ini tidak mengendahkan permohonan untuk menerima mereka semula.

Organisasi Antarabangsa untuk Imigran (IOM) tiada wang untuk menghantar mereka pulang. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 7:12 AM