ALOSON terpantas pada sesi latihan bebas kedua. -FOTO Reuters
ALOSON terpantas pada sesi latihan bebas kedua. -FOTO Reuters
AFP

Montreal: Fernando Alonso yang memacu Aston Martin mencatatkan masa terpantas dalam sesi latihan bebas kedua Grand Prix Kanada dengan juara dunia dua kali itu memanfaatkan sepenuhnya perubahan cuaca untuk mengatasi George Russell dari Mercedes di Litar Gilles Villeneuve yang basah.

Alonso mencatat pusingan terpantas satu minit dan 15.810s untuk menewaskan Russell yang ketinggalan 0.462s dalam sesi terbuka yang menyaksikan juara dunia tiga kali dari Red Bull, Max Verstappen bergelut sekali lagi.

Pelumba dari Belanda itu hanya berjaya beraksi empat pusingan sebelum melompat keluar dari keretanya yang berasap di pit di tengah-tengah sesi yang memberi gambaran tentang apa yang akan dapat dijangkakan pada perlumbaan kelayakan hari ini dan esok.

Pelumba harapan tuan rumah Lance Stroll berada di tempat ketiga di hadapan Charles Leclerc dari Ferrari, pemenang Grand Prix Monaco dua minggu lalu, Daniel Ricciardo dari RB, Kevin Magnussen dari Haas dan juara tujuh kali Lewis Hamilton.

Yuki Tsnuoda berada di tempat kelapan untuk RB mendahului Alex Albon dari Williams dengan Sergio Perez di tempat ke-10 untuk Red Bull, beberapa hari selepas menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun dengan pasukan itu.

Selepas sesi pembukaan yang terjejas kerana hujan yang mengurangkan aksi kepada hanya 35 minit turut menyaksikan beberapa pelumba terpaksa meninggalkan lorong pit apabila ribut melanda.

"Ia turun dengan lebih lebat," kata Russell, sementara Verstappen yang memimpin sesi ujian itu terpaksa masuk pit untuk menukar dari tayar lembut kepada medium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 9:54 AM