SEORANG remaja maut dalam kemalangan di KM 16, Jalan Lipis-Benta pada jam 4.40 petang  semalam. FOTO Ihsan IPD Lipis
SEORANG remaja maut dalam kemalangan di KM 16, Jalan Lipis-Benta pada jam 4.40 petang semalam. FOTO Ihsan IPD Lipis
Amir Hamzah Nordin


Lipis: Hasrat seorang remaja untuk menyertai perlawanan bola sepak tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di KM 16, Jalan Lipis-Benta petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, Syarif Izzaq Samsudin,17, yang menunggang motosikal dari rumahnya di Bandar Saujana Putra, Selangor menuju ke Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah AL-Mustain Billah, Kuala Lipis.

"Siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang mangsa bergesel di sebelah kiri lori terbabit dari arah yang sama.

"Pemandu lori tersebut seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang datang dari arah Raub menuju ke Padang Tengku, Lipis untuk menghantar muatan kayu getah di sebuah kilang," katanya.

Katanya, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

"Polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan.

"Kes masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 11:27 AM