PENDATANG cuba meruntuhkan pagar ketika menunjuk perasaan mendesak pintu sempadan di Indomeni, antara Greece dan Macedonia, dibuka.
PENDATANG cuba meruntuhkan pagar ketika menunjuk perasaan mendesak pintu sempadan di Indomeni, antara Greece dan Macedonia, dibuka.
AP

Idomeni (Greece): Lebih 100 pelarian bertempur dengan polis Macedonia semalam di kawasan pagar sempadan Macedonia dan Greece yang menjadi penempatan sementara imigran yang terkandas.

Kejadian itu menyebabkan rancangan Presiden Croatia dan Slovenia untuk melawat kawasan sempadan berkenaan terpaksa dibatalkan.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu yang berlaku di pintu sempadan di Idomeni yang ditutup kerajaan Macedonia.

Polis antirusuhan Greece dilihat memantau keadaan dari kawasan sempadan negara itu dan tidak membuat sebarang tindakan atau tangkapan.

Polis Macedonia pula menembak gas pemedih mata, bom pegun dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan yang sebelum itu menggunakan selimut untuk mengalas dan memanjat pagar berduri.

Kumpulan penunjuk perasaan bertindak menutup kebanyakan kanister gas pemedih api dengan selimut dan melontarnya semula ke arah polis.

Kira-kira 1,000 pelarian tinggal dalam khemah sementara selama beberapa minggu sejak Macedonia menutup pintu sempadannya bagi menghalang kebanjiran imigran ke Eropah.

Pelarian yang terdiri daripada warga Syria, Iraq dan Afghanistan itu tidak mengendahkan desakan pihak berkuasa Greece supaya berpindah ke kem yang dikhaskan untuk mereka.

Sejak beberapa minggu, kumpulan itu cuba masuk beramai-ramai ke Macedonia dengan cuba memanjat atau memotong pagar. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 10:42 AM