Oleh Mohd Sabran Md Sani


Kehadiran sekumpulan murid Sekolah Kebangsaan Sena, Kangar, Perlis mencuri tumpuan orang ramai sempena pertandingan inovasi Malaysian Agricultural Innovation Challenge (MAgIC) 2014 di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.

Usia sekitar tujuh hingga sembilan tahun tidak menghalang mereka mempersembahkan produk inovatif dalam pertandingan anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu.

Cukup ringkas, namun daya kreatif mereka mengolah barangan terpakai kepada produk inovatif mengagumkan.

Mereka menghasilkan alat penggaul baja kompos dikenali KidsCompost.

Kumpulan itu terdiri daripada lima murid iaitu Najihah Humairah Mohd Najmuddin, 9, Najidah Humairah Mohd Najmuddin, 7, Muhammad Wafiq Mohd Irfan Hatim, 8, Aiman Safwan Mohd Mustafa Abdullah Al Bakri, 8, dan Ahmad Umar Naim Abdul Rahim, 8.

Produk yang diba­ngunkan dua bulan lalu itu menerima pingat emas ­untuk kategori sekolah ­rendah.

Projek itu diselia guru pembimbing inovasi, Ahmad Ferdaus Abd Razak, Azizah Hamzah dan Siti Sofiah Abdullah.

Najihah Humairah yang juga ketua pasukan inovasi sekolah itu me­ngakui sifat ringan tangan membantu ibunya berkebun mencetuskan idea penciptaan KidsCompost.

"Kami selalu membantu ibu menanam pokok di rumah dan menggunakan baja kompos.

"Dari situ timbul idea mencipta alat mudah menghasilkan baja berkenaan daripada bahan terbuang.

"KidsCompost membantu kanak-kanak me­ngisar bahan buangan termasuk sisa pertanian di rumah," kata­nya.

Ahmad Ferdaus berkata, selain membantu menghasilkan baja kompos, alat itu menggalakkan murid bertani.

"Ia menggalakkan murid menghasilkan baja kompos dan memelihara alam sekitar.

"Alat ini memberi keseronokan kepada kanak-kanak tanpa perlu mengotorkan tangan," katanya.

Kumpulan murid itu, katanya, mencetuskan idea menghasilkan KidsCompost menggunakan bahan mudah.

Ia membabitkan komponen utama seperti bekas plastik, pedal basikal, sudip simen dan roda.

"Murid berkenaan melakar prototaip alat dan kami (guru dan ibu bapa) membantu memasang komponen besar.

"Pedal basikal digabungkan dengan sudip simen untuk memudahkan kerja mengadun baja," katanya.

Mikroorganisma Asli (IMO) adalah bakteria yang dicampurkan bersama bahan buangan ayam (najis ayam) dan sisa makanan atau tanaman untuk menghasilkan baja kompos.

"Dengan sukatan ditetapkan, pedal digunakan untuk menggaul semua bahan buangan dan dibiarkan lebih kurang sebulan.

"Sebaik tempoh matang dan 'masak', ia menjadi baja kompos. Maknanya apabila sudah siap, boleh digunakan untuk menyuburkan pokok sebagai baja kompos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:00 AM