PEKERJA memasukkan baja kompos ke dalam ‘polybag’.
PEKERJA memasukkan baja kompos ke dalam ‘polybag’.
BAJA kompos diisi dalam ‘polybag’ sebelum benih bunga dimasukkan.
BAJA kompos diisi dalam ‘polybag’ sebelum benih bunga dimasukkan.
HARIS menunjukkan tanaman semusim menggunakan baja kompos.
HARIS menunjukkan tanaman semusim menggunakan baja kompos.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Penubuhan Pusat Kompos Floria adalah cetusan idea dan usaha untuk melihat jangka hayat tanaman dan bunga di Putrajaya dapat dipanjangkan kepada lebih sebulan berbanding tiga minggu kini.

Bagi memastikan hasrat itu direalisasikan, maka wujudlah Pusat Kompos Floria yang berfungsi memproses sisa landskap dan taman kepada baja kompos.

Setiap bulan, lebih 4,000 tan sisa landskap dan taman dikendalikan kontraktor lantikan PPj sebulan, malah sisa itu kini diberi nilai apabila sisa berkenaan diolah semula menjadi baja kompos.

Tugas mengolah sisa landskap dan taman menjadi baja kompos kini dipikul anak syarikat milik penuh PPj iaitu Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB).

Ketua Pegawai Operasi PFSB Haris Embong berkata, dia sendiri tidak menyangka idea projek yang dibentangkan pasukannya pada Konvensyen KIK itu memberi ilham kepada penubuhan pusat baja kompos berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya merasakan sudah tiba masanya untuk melupuskan sisa landskap dan taman yang dikutip di sekitar Putrajaya sebagai sesuatu yang bernilai dan berguna.

“Justeru, terhasillah idea untuk memproses sisa berkenaan kepada baja kompos. Usaha itu juga sejajar dengan impian PPj untuk melihat Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan menuju ke arah Bandar Teknologi Hijau menjelang 2025.

“Kini, PPj terus mengorak langkah ke arah Bandar Teknologi Hijau menjelang 2025 dengan mengitar semula sisa landskap dan taman yang dikutip dari seluruh Putrajaya untuk menghasilkan baja kompos,” katanya.

Katanya, Pusat Kompos Floria itu diwujudkan hasil kerjasama antara PFSB dan MIG Green Resources Sdn Bhd.

Haris berkata, sebelum ini, kontraktor yang mengendalikan sisa landskap dan taman melupuskan sisa berkenaan di tapak pelupusan haram selain terpaksa membayar harga sehingga RM35 setan bagi sampah yang ingin dilupuskan di tapak pelupusan yang sah.

Menurutnya, berbanding dengan Pusat Kompos Floria, pihaknya bukan saja dapat memanfaatkan sisa landskap dan taman berkenaan, sebaliknya membayar RM20 setan kepada kontraktor yang membawa sisa berkenaan.

“Sebelum ini, kami mengarahkan kontraktor supaya membuang sisa itu di luar Putrajaya bagi memastikan bandar pentadbiran ini tidak dicemari sisa berkenaan. Namun, kini kami arahkan mereka membawa sisa berkenaan untuk diproses menjadi baja kompos.

“Keadaan itu bukan saja dapat mengurangkan kos pengurusan sisa landskap dan taman kepada PPj sebaliknya baja kompos yang dihasilkan dapat pula dipasarkan,” katanya.

Katanya, selain memasarkan baja kompos berkenaan, pihaknya juga dapat menjimatkan kira-kira RM500,000 sebulan bagi mendapatkan baja sesuai untuk menyelenggara dan memastikan Putrajaya hijau dengan tanaman dan bunga-bungaan.

Menurutnya, pihaknya kini mengendalikan 250,000 tanaman bunga semusim dalam tempoh sebulan dan keseluruhannya menggunakan baja kompos yang dihasilkan di Pusat Kompos Floria.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 8:53 AM