PRESIDEN  Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF)  Datuk Abu Samah Abd Wahab (kiri) bersama    Musairi (dua dari kiri) dan rakan tajaan  pada  majlis   Laluan dan Tajaan Jelajah Malaysia 2105 di Mandarin Court.
PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) Datuk Abu Samah Abd Wahab (kiri) bersama Musairi (dua dari kiri) dan rakan tajaan pada majlis Laluan dan Tajaan Jelajah Malaysia 2105 di Mandarin Court.

Kuala Lumpur: Siri perlumbaan tertua negara Jelajah Malaysia (JM) kembali menghangatkan saingan biarpun sebelum ini berdepan pelbagai spekulasi membabitkan penganjurannya.

Perlumbaan yang memasuki edisi ke-51 itu akan diadakan dari 9 hingga 13 Disember ini membabitkan saingan lima peringkat sejauh 502.6 kilometer menyusuri Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif Peloton Resources Musairi Musa berkata, beliau akan berusaha sebaik mungkin bagi mengembalikan prestij siri jelajah berbasikal tertua negara biarpun terpaksa mengambil tugas itu dalam masa singkat.

Memilih untuk tidak memberi sebarang komen berhubung permasalahan membabitkan penganjuran JM sebelum ini berhubung isu pembayaran wang kemenangan, beliau menegaskan akan cuba melakukan sesuatu dengan memastikan penganjuran JM kali ini mendapat pengiktirafan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Saya akan cuba menjalankan tugas sebaik mungkin supaya perlumbaan yang memasuki edisi ke-51 ini tidak terputus penganjurannya dan dengan tajaan yang mencapai hampir RM1.5 juta mencukupi untuk menganjurkannya.

“Ini tugas pertama saya sebagai pengurus acara yang diberi amanah menganjurkan JM dan sebagai bekas pelumba saya cuba sedaya upaya untuk memastikan program pembangunan khususnya basikal berada di landasan terbaik kerana saya juga pernah rasa apa yang pelumba rasa sebelum ini,” katanya.

Sebanyak 13 pasukan kategori benua sudah mengesahkan penyertaan selain membabitkan saingan tujuh pasukan tempatan terdiri daripada Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Sukan Negara (MSN), B-23 Terengganu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kehadiran juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini Pegasus turut dijangka memeriahkan saingan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 9:43 AM