KUALA LUMPUR 25 NOVEMBER 2015. Bekas Penasihat Perniagaan National Feedlot Corparation Sdn Bhd (NFCorp), Sahmsubahrin Ismail (kiri) bersalaman bersama Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail selepas memohon maaf berhubung kenyataan fitnah yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/Saddam Yusoff

Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Kes saman fitnah dikemukakan oleh Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail terhadap ahli perniagaan, Shamsubahrin Ismail berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Ia berikutan Shamsubahrin yang juga bekas perunding syarikat itu mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnahnya itu selain berjanji tidak akan mengulanginya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab kemudian membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang dikemukakan oleh Mohamad Salleh.

Sebaik saja selesai permohonan maaf dibacakan, Mohd Zaki meminta kedua-dua pihak bersalam dan Shamsubahrin turut memeluk Mohamad Salleh.

Pada 3 Julai lalu, Mohamad Salleh memfailkan saman terhadap Shamsubahrin selepas dia memuat naik enam kenyataan berunsur fitnah membabitkan dirinya (Mohamad Salleh) dalam akaun Facebook atas nama Shamsubahrin Ismail Tom.

Shamsubahrin didakwa melakukan perbuatan itu antara 19 Mei hingga 23 Jun lepas dan akaun Facebook itu boleh diakses oleh orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 2:58 PM