(Dari kiri) Wan Izmir Salleh, Shahrizat dan Mohamad Salleh.
(Dari kiri) Wan Izmir Salleh, Shahrizat dan Mohamad Salleh.
Oleh Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melepas dan membebaskan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail daripada semua pertuduhan termasuk pecah amanah membabitkan RM49.7 juta yang dihadapinya.

Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Dr Mohamad Salleh.

Pada 4 November lalu, Muhammad Shafee ada mengemukakan representasi ke Jabatan Peguam Negara.

Dalam permohonan itu, Muhammad Shafee memohon supaya Jabatan Peguam Negara menarik balik semua pertuduhan yang dihadapi Salleh berdasarkan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara mengarahkan Mohamad Salleh dilepaskan tanpa dibebaskan selepas meneliti surat representasi yang dikemukakan.

Muhammad Shafee bagaimanapun membantah keputusan itu dan selepas berhujah, pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Selepas prosiding selesai, Mohamad Salleh terus memeluk isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menangis kegembiraan dengan keputusan itu.

Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, 66, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu melalui empat keping cek NFC untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium di One Menerung di ibu negara.

Beliau juga dituduh melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek, ke dalam akaun syarikat National Meat Livestock Corporation pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 3:09 PM