MANGSA yang tersepit di kawasan penarahan bukit di Kampung Kivatu, Penampang. FOTO ihsan bomba
MANGSA yang tersepit di kawasan penarahan bukit di Kampung Kivatu, Penampang. FOTO ihsan bomba
Oleh Junaidi Ladjana


Penampang: Pemandu jentolak maut selepas ditindih jentera berat yang dipandunya ketika melakukan kerja penarahan bukit di kawasan Kampung Kivatu, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa Hendrik Mangasik, 42, disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Afendy K Ramin berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan 10.09 pagi, sebuah jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penampang dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, disahkan seorang mangsa tersepit dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam jentera berat itu.

"Anggota bomba kemudian membuat pemotongan rangka jentera berat lalu mengeluarkan mangsa terbabit yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan HQE Kota Kinabalu," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat 10.52 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 1:14 PM