MANGSA diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dibawa ke HQE I Kota Kinabalu. FOTO ihsan Pembaca
MANGSA diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dibawa ke HQE I Kota Kinabalu. FOTO ihsan Pembaca
Juwan Riduan


Penampang: Lelaki menemui ajal ketika bermain bola sepak dalam pertandingan di Kompleks Sukan Penampang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 57 tahun yang juga penjaga gol tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika melontar bola.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, rakan mangsa yang melihat kejadian itu segera membantu dan mendapati nadinya masih berdenyut.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang turut tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

"Pasukan bomba yang tiba di lokasi segera memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di bahagian kecemasan HQE I," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, setakat ini punca kematian mangsa belum dapat dikenal pasti dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HQE I Kota Kinabalu, untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 1:50 PM