PASUKAN bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Penampang: Seorang wanita warga China melecur di kepala hingga ke kaki selepas dapur gas di rumahnya di Kondominium mewah Jalan Kobusak, di sini, meletup hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa berusia 25 tahun dikatakan sedang melakukan kerja memasak sebelum dapur gas tiba-tiba meletup.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Jamaluddin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.04 tengah hari.

Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dan Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa berada dalam keadaan sedar namun melecur tahap dua dari kepala hingga ke bahagian kaki.

"Mangsa terus diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke zon merah Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk rawatan selanjutnya," katanya dalam ketika dihubungi, hari ini.

Jamaluddin berkata, operasi berjaya dikawal pada 12.30 tengah hari bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.25 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 5:09 PM