ANGGOTA bomba membawa mangsa ke hospital. FOTO Juwan Riduan
ANGGOTA bomba membawa mangsa ke hospital. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Penampang: Dua lelaki cedera melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan papan iklan berhampiran menara elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Jalan Bundusan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 26 dan 35 tahun dilaporkan melecur di tangan, perut dan kaki.

Difahamkan, ketika kejadian mereka sedang menjalankan kerja memasang papan iklan berdekatan menara elektrik sebelum berlaku renjatan elektrik.

Susulan itu, dua mangsa yang berada berhampiran menara elektrik berkenaan terkena renjatan.

Beberapa rakan sekerja yang menyedari kejadian itu terus kemudian membantu membawa mangsa ke kawasan selamat sebelum menghubungi talian kecemasan 999.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.23 pagi.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat dua mangsa lelaki terkena renjatan elektrik.

"Pasukan bomba bertindak memberi rawatan awal dan seterusnya membawa mangsa ke Hospital Queen Elizabeth I(HQE I) Kota Kinabalu menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 11.50 pagi.

Difahamkan, kejadian berkenaan tidak membabitkan anggota SESB.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 3:09 PM