BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) merancang mewujudkan rangka kerja yang betul untuk ASEAN berkaitan pembangunan industri permainan dalam talian di rantau ini.

Pengarah Bahagian Multimedia Kreatif MDeC, Hasnul Hadi Samsudin berkata, rangka kerja itu boleh merangsang kerjasama di kalangan pemaju permainan ASEAN, berikutan potensi besarnya pada masa depan.

“Kami merancang mewujudkan rangka kerja yang betul untuk pemaju permainan dalam talian tahun depan bagi kerjasama akan datang,” katanya dalam temubual sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.

“Oleh kerana 60 peratus penduduk ASEAN terdiri daripada golongan muda yang sebahagian besar terlibat dalam industri itu sebagai pemain atau pemaju, idea ini boleh membawa manfaat dalam jangka panjang,” katanya.

Industri permainan dalam talian di Asia Tenggara diunjurkan berkembang 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, dipacu peningkatan mendadak akses dan pemilikan Internet.

Ketika ini, MDeC mengetuai Hubungan Rangkaian Permainan ASEAN, iaitu perikatan rasmi di kalangan negara anggota yang bertujuan membawa industri permainan dalam talian Asia Tenggara ke peringkat lebih tinggi, kata Hasnul.

Sebagai permulaan, mereka perlu mengemukakan laporan terperinci mengenai industri permainan di rantau ini dan potensinya, mengambil kira pengalaman dan kemajuan 111 syarikat yang terlibat dalam industri berkenaan, tambahnya.

Menurutnya, laporan ini akan dikeluarkan setiap tahun, akan menjadi penanda aras untuk pemaju permainan lain di segi pembangunan masa depan di rantau ini.

“Malaysia mempunyai potensi besar menjadi hab permainan dalam talian di rantau ini dengan majoriti syarikat permainan (61 peratus) yang terlibat dalam industri itu adalah pemaju permainan,” katanya.

Hasnul berkata, disebabkan Asia Tenggara adalah rantau yang penting untuk eksport, permainan dalam talian dihasilkan syarikat di Malaysia akan diterima baik oleh rantau lain kerana mereka sudah biasa dengan budaya dan bahasanya.

Sempena Sidang Kemuncak Keusahawanan ASEAN, MDeC menjadi tuan rumah Level UP KL 2015, satu daripada persidangan permainan dalam talian utama Asia Tenggara selama dua hari berakhir pada Khamis.

Acara itu bertujuan menemukan pemain tempatan dan antarabangsa terkemuka dalam industri permainan terbabit.

Dihadiri lebih 350 peserta daripada industri permainan dalam talian tempatan dan antarabangsa, mereka boleh berinteraksi, mendidik dan berkongsi pengetahuan mengenai pelbagai perkara daripada pembangunan kandungan kepada pengumpulan dana serta pembangunan perniagaan dan pemasaran.

Level UP KL 2015 adalah sebahagian daripada usaha berterusan diterajui MDeC untuk menghasilkan ekosistem permainan dalam talian kelas dunia di Malaysia. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 11:14 AM