Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bakal melaksanakan 150 program membabitkan 85 program promosi perdagangan dan 65 program pembangunan eksport pada tahun depan dalam usaha mencapai pertumbuhan 23 peratus pembabitan pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjelang 2020 berbanding 19 peratus ketika ini.

Program yang dirancang Matrade itu juga sebagai usaha untuk mencapai sasaran pertumbuhan 4.6 peratus nilai perdagangan setahun kepada RM974.6 juta untuk barangan dagangan dan RM195.89 bilion bagi sektor perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, program rangka kerja Matrade pada tahun depan turut memberi tumpuan kepada perluasan aktiviti perdagangan ke China yang masih luas untuk diterokai oleh pemain industri tempatan.

Beliau berkata, sektor e-dagang turut menjadi tumpuan dalam pelaksanaan program berkenaan memandangkan ia menjadi tumpuan ekosistem perdagangan antarabangsa.

“Tambahan pula, kita juga akan fokus kepada sektor bernilai tinggi yang boleh disertai pemain industri tempatan antaranya minyak dan gas, aeroangkasa, maritim dan penyelenggaraan, penyelenggaraan dan baik pulih (MRO), perubatan, elektrik dan elektronik, pembinaan dan perkhidmatan profesional.

“Dari segi tumpuan lokasi pasaran selain dari China, kita akan fokus kepada pasaran Asia yang mana 60 peratus aktiviti pemasaran asing pada tahun depan tertumpu kepada rantau berkenaan,” katanya pada taklimat rancangan Matrade 2016 di sini, semalam.

Pelaksanaan 150 program yang dirancang Matrade itu akan menggunakan dana yang diperuntukkan oleh kerajaan sebanyak RM235 juta pada tahun depan.

Setakat tahun ini, Matrade telah membawa syarikat tempatan ke 85 lokasi di luar negara bagi tujuan mempromosi dagangan ke negara asing yang mana Asia Tenggara menjadi tumpuan utama dengan mencatatkan 37 penyertaan dagangan.

Dzulkifli berkata, Matrade juga akan menembusi pasaran asing baru pada tahun depan iaitu Afrika, Timur Eropah, Australasia dan Oceania yang dilihat mampu merancakkan lagi aktiviti dagangan Malaysia ke pasaran antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 6:59 AM