Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Halal Industry Development Cooperation Sdn Bhd (HDC) menyarankan tiga isu utama berkaitan industri halal yang perlu ditumpukan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) iaitu perdagangan, pelaburan dan standard halal bagi merancakkan pembangunan halal di rantau Asean sempena Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada tahun ini.

Perkara itu dicadangkan bagi membolehkan peningkatan dagangan halal antara negara dalam rantau Asean boleh dipertingkatkan memandangkan data yang dicatatkan HDC Singapura dan Indonesia saja menduduki sepuluh negara terbesar dagangan halal dengan Malaysia pada tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Jamil Bidin berkata, setakat tahun lalu, Singapura mencatatkan import produk halal RM3.6 bilion dan Indonesia RM2.3 bilion dari Malaysia. Manakala lapan negara lain yang mengeksport produk halal dari Malaysia bukan dalam kalangan negara Asean.

Beliau berkata, di Asean terdapat lebih 300 juta penduduk Islam dan sekiranya setiap negara anggota dapat meningkatkan jaringan perdagangan halal ia mampu mendorong pertumbuhan ekonomi rantau berkenaan secara langsung.

“Dari segi perdagangan hanya Malaysia yang mempunyai kemudahan secara menyeluruh iaitu dari pembangunan usahawan, penyediaan logistik, catatan data dagangan dan pembangunan inovasi yang boleh dijadikan model terbaik kepada rakan Asean yang lain.

“Apabila setiap negara Asean mula mengembangkan sektor halal mereka, ia akan memacu rantau ini sebagai destinasi halal dunia memandangkan setiap negara di rantau ini mempunyai kekuatan bagi menghasilkan produk atau ramuan halal, sekali gus meningkatkan arus dagangan dengan rantau lain,” katanya.

Setakat 2014, Malaysia merekodkan eksport halal RM37.7 bilion. China menjadi penyumbang utama iaitu RM4.6 bilion, diikuti Singapura RM3.6 bilion, Amerika Syarikat RM3.4 bilion, Indonesia RM2.3 bilion dan Jepun RM2.2 bilion.

Dari segi standard halal ialah menyentuh kepada piawaian perakuan halal yang dibuat setiap negara dalam Asean berbeza dan ini memberi masalah kepada usahawan dalam rantau berkenaan untuk membawa masuk produk mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:33 AM