Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia bertindak melulu apabila memperbesarkan isu kecil seperti penyusutan nilai ringgit dan kemelut 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata seorang pakar ekonomi.

Kebimbangan itu, tegas Ketua Pakar Ekonomi IQI Holdings, Shan Saeed, tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan sudah pasti mempunyai langkah menanganinya.

“Sebagai warga asing, saya tidak langsung bimbangkan soal 1MDB. Ia hanya isu kecil dan saya rasa kerajaan sudah ada pelan A, B dan C, mereka akan bertindak untuk menangani 1MDB ini,” katanya kepada Bernama.

IQI Group adalah syarikat hartanah dan pelaburan yang beroperasi dan menawarkan khidmat nasihatnya di Malaysia, Singapura, Hong Kong, United Kingdom, Amerika Syarikat serta Dubai.

Saeed turut menyuarakan keyakinannya terhadap ekonomi Malaysia yang disifatkannya sebagai memberangsangkan.

Kerajaan juga, menunjukkan pencapaian fiskal dan meneruskan ekonomi yang konsisten pada paras makro.

Biarpun ringgit diniagakan pada paras 3.7 berbanding dolar AS, kesan jangka pendek itu sebenarnya membantu sektor perusahaan dan perkhidmatan dengan mengekalkan daya saing dagangan.

Dalam nada optimis, Saeed, berkata, tiada sebab bagi rakyat Malaysia bimbangkan ekonomi negara ini kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada kadar enam peratus pada masa ini dan inflasi adalah tiga peratus.

“Angka inflasi di Malaysia adalah amat rendah dan masih boleh dikawal berikutan dasar monetari yang sedia ada. Ada segelintir pakar ekonomi berpandangan dasar fiskal yang menjadi faktor pemacu ekonomi tetapi mereka silap.

“Sebaliknya, dasar monetari yang sentiasa menjadi pemacu ekonomi dan sejak tiga setengah tahun saya di Malaysia, kerajaan telah bersandarkan dasar monetari untuk memacu ekonomi,” katanya.

KDNK Malaysia sebanyak US$245 bilion pada 2008, meningkat kepada US$322 bilion, tahun lepas. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 9:35 AM