KAY Bee mengadakan kelas perniagaan untuk suri rumah.
KAY Bee mengadakan kelas perniagaan untuk suri rumah.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Awalnya dia hanya berkongsi status di laman sosial Facebook mengenai teknik memulakan perniagaan dari rumah. Penulisan bersifat santai berserta tip yang praktikal dan mampu dilaksanakan menarik minat pengikutnya yang terdiri daripada suri rumah untuk terus mengikuti apa saja status yang dimuat naik di Facebook.

Sehinggalah pada suatu hari dua wanita menghubu­nginya kerana ingin belajar secara lebih mendalam mengenai perniagaan menerusi dalam talian.

“Membayangkan mereka sama seperti saya suatu ketika dulu yang tiada duit untuk memulakan perniagaan, saya memberikan ilmu secara percuma. Kami bertemu di kafe sekitar kawasan perumahan. Tidak sangka apa yang saya kongsikan ini menarik minat ramai lagi suri rumah untuk menyertainya. Dari situ saya terfikir mengapa tidak membantu golongan ini untuk bersama-sama mencari pendapatan sampingan menerusi dalam talian,” kata Khairul Bariah Abdul Rahim yang giat menjalankan kelas asas perniagaan untuk wanita.

Menurut Khairul Bariah, tujuannya menyediakan kelas asas perniagaan dalam talian untuk membantu wanita memperoleh pendapatan sendiri di rumah. Sekurang-kurangnya mereka mampu membeli keperluan diri menggunakan duit hasil perniagaan dan tidak mengharapkan suami semata-mata.

Dengan perkembangan teknologi maklumat perniagaan menjadi lebih mudah. Namun apa yang diperlukan adalah ilmu terutama untuk memilih produk dan pemasaran dalam talian. Inilah yang akan ditekankan dalam setiap seminarnya.

Lebih dikenali sebagai Kay Bee, pengalaman diperoleh selepas berhenti kerja dan memulakan perniagaan dari rumah digunakan sepenuhnya untuk mencurahkan ilmu kepada peserta. Sebaik saja melepaskan jawatan sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta selepas 15 tahun berkhidmat Kay Bee memulakan langkah pertama dengan menyertai pelbagai kelas perniagaan.

Malangnya yuran pendaftaran yang dikenakan sangat mahal dan ramai suri rumah tidak mampu menyertai­nya. Ada pula suami langsung tidak menyokong malah menghalang pasangan mengikuti sebarang kelas disebabkan tidak mahu mengeluarkan wang.

“Dari situ saya terfikir untuk mengenakan bayaran serendah RM5, RM30 dan ada juga RM60 bergantung kepada lokasi. Niat saya cuma satu dengan kadar bayaran yang rendah ini lebih ramai suri rumah tampil untuk belajar. Apabila pulang ke rumah mereka boleh mencari produk dan menjalankan perniagaan sendiri menerusi dalam talian,” katanya.

Sebagai tenaga pengajar sudah tentu Kay Bee perlu melengkapkan diri dengan ilmu perniagaan. Justeru dia mencari guru atau mentor terkenal terutama dalam pemasaran Internet untuk menimba ilmu. Antaranya Sifufbads Tuan Jamal, Dr Azizan Osman, Dr Irfan Khairi, Yon Sukur, Abdul Malek, Faisal Abdullah, Aqif Azizan dan Wan Mus yang mempu­nyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Tidak cukup dengan itu dia juga menyertai program khas di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) untuk memperoleh sijil kelayakan bertauliah sebagai tenaga pengajar.

“Sijil ini sangat penting kerana ia dapat mengukuhkan lagi kepercayaan orang ramai mengenai kursus yang saya anjurkan selain ilmu daripada pakar terlatih di Malaysia yang terkenal dalam bidang masing-masing,” katanya.

Dia menyifatkan ilmu yang diperoleh ini sangat penting kerana tanpa ilmu perniagaan tidak akan sampai ke mana.

Bawa anak ke kelas

Menariknya seminar yang dijalankan menampilkan persembahan berbeza berbanding kelas lain. Selain memberi ruang kepada wanita saja, suri rumah boleh membawa anak masing-masing ke kelas. Ini kerana berdasarkan pengalaman sendiri ketika memulakan perniagaan dulu, kekangan paling utama adalah anak.

Antara alasan paling biasa ialah tiada orang menjaga anak, suami tidak mahu mengambil alih tugas men­jaga dan bayi masih me­nyusu, sedangkan mereka ini mempunyai semangat yang kuat untuk berjaya. Semua halangan ini akhirnya akan mematahkan semangat mereka untuk berjaya.

“Sebab itu saya anjurkan kelas yang bersifat santai. Ibu bebas bergerak ke sana sini, mereka juga boleh menyusukan anak sambil mendengar taklimat dan menidurkan anak di dalam kelas. Walaupun ada kala suasana agak bising, ia masih terkawal kerana saya mempunyai suara yang kuat dan boleh didengari semua,” katanya tersenyum.

Oleh kerana memahami kebanyakan suri rumah tidak mempunyai pendedahan luas mengenai bisnes, apa yang ditampilkan adalah pelajaran asas memulakan perniagaan, produk yang boleh dijual, membina Fanpage Facebook dan memasarkan menerusi laman sosial.

“Suri rumah perlu ada pendapatan sendiri sekurang-kurang RM50 sehari dan membuat simpanan untuk masa depan. Mereka tidak boleh bergantung kepada suami semata-mata kerana seandainya sesuatu berlaku mereka mampu menyara diri dan anak.

“Terbukti ramai suri rumah berjaya dan mampu bergelar jutawan. Selagi mereka tidak memulakan langkah pertama segala yang diimpikan tidak akan berhasil,” katanya yang turut menjadi perunding kewangan insurans dan banyak memberi kefahaman mengenai kepentingan mengambil insuran diri dan keluarga.

Selain itu sokongan suami adalah sangat penting untuk kejayaan pasangan. Bantulah isteri yang mempunyai semangat berkobar-kobar untuk memulakan perniagaan. Bagaimanapun ada suami yang memperlekehkan usaha isteri, tidak mahu berkompromi menjaga anak seandainya ada kelas yang ingin disertai isteri malah ada juga mengeluarkan kata-kata sindiran, sedangkan untuk berjaya usaha dan sokongan amat penting.

Menceritakan pengalaman memulakan perniagaan di rumah selepas berhenti kerja, Kay Bee bersyukur kerana suaminya sangat memahami dan memberikan kebenaran untuk menuntut ilmu. Produk pertama yang dijual adalah krim buang tahi lalat dan mendapat sambutan luar biasa pengguna. Namun selepas kelahiran cahaya mata pada 2011, pelbagai masalah timbul antaranya sukar keluar disebabkan anak yang menyusu badan.

“Hampir tiga bulan juga saya tidak membuat apa-apa promosi. Lama-kelamaan saya berasa sangat bosan dan inginkan melakukan sesuatu untuk menambah nilai hidup orang lain. Saya tidak mahu orang lain melalui masalah seperti yang saya alami. Impian saya mahu melihat ramai wanita berjaya dalam perniagaan,” katanya yang berterima kasih kepada suami Amyr Abd Hamid yang tidak putus-putus memberikan semangat dan sokongan.

Disebabkan kelas yang dijalankan mendapat sambutan menggalakkan, dia akan terus menganjurkan kelas yang sama untuk suri rumah dengan memberikan ilmu yang lebih luas dan efektif. Bagi Kay Bee semuanya bermula dengan satu tindakan iaitu ingin mengubah kehidupan. Dengan menyertai mana-mana kelas perniagaan sebenarnya ia satu langkah yang akan menjadikan kejayaan anda lebih mudah.

“Sekiranya anda hanya bercakap, walau 100 kelas sekalipun yang anda sertai ia tidak akan sampai ke mana. Tetapi kalau anda bertindak, walaupun hanya menghadiri satu kelas, ia mampu merubah kehidupan menjadi lebih positif dan berjaya,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kelas perniagaan yang dijalankan boleh melayari Facebook Kay Bee atau laman sesawang kaybeerahim.weebly.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 5:01 AM