FAUZIAH Gous.
FAUZIAH Gous.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon dan usahawan Fouziah Gous, 39, mendedahkan tidak mempunyai masalah bekerja dengan suaminya, Mohd Zhafran Md Yusof menguruskan syarikat mereka, Zhafou Global Sdn Bhd.

Menurutnya, mereka tidak pernah mencampur adukkan urusan peribadi dan kerja serta menghormati tanggungjawab masing-masing.

"Suami Pengerusi Eksekutif syarikat, namun benda yang perlu saya cakap dan benda yang perlu dia cakap, masing-masing akan cakap tanpa halangan.

"Saya bersyukur suami bukan jenis yang bantah cakap saya dan saya yang banyak bantah dia. Prinsip saya bekerja kena tegas. Balik rumah, saya minta maaflah.

"Sistem bekerja di pejabat saya sangat berbeza. Ia sangat penting. Dia hormat kerja saya, saya hormat kerja dia. Kita kena tahu kerja masing-masing," katanya ditemui pada pelancaran produk premium FG Walet dengan kerjasama MyNews Plaza Sentral di sini, semalam.

Menurutnya, dia bersyukur mempunyai suami yang menyokong arahnya dalam perniagaan.

"Zhaf 110 jenis takkan bantah keputusan saya. Mungkin dia nampak keputusan itu logik," katanya.

Bercerita berkenaan kehidupan rumah tangga mereka, pelakon filem Sifu & Tongga ini berkata, mereka sudah lebih 10 tahun berkahwin dan dia berhak untuk cerita berkenaan suaminya.

"Saya tak pernah 'check' telefon Zhaf. Saya bukan seorang yang menyibuk dengan privasi suami sendiri. Saya hidup berteraskan kepercayaan dan nak hidup dalam tenang.

"Yang saya tahu, dia ada dengan saya. Bila saya perlu dia ada dan saya tahu tanggungjawab saya sebagai isteri. Kami kena tahu bahagian masing-masing. Apa lagi nak cari masalah.

"Saya selalu doa kepada Allah agar rendahkan ego saya untuk suami dan sentiasa istiqamah. Setiap minggu kami adakan kelas suami isteri untuk peringatan masing-masing," katanya.

Dia lebih suka mengamalkan konsep 'back to basic' agar tidak lalai dalam kehidupan.

"Setiap Isnin malam adalah hari kami bersama suami isteri untuk bersama dengan Habib Najmuddin. Banyak yang kita belajar ilmu-ilmu.

"Saya tak nak suami sahaja pergi kelas agama, atau isteri sahaja pergi kelas agama. Sesi ini berlangsung di rumah atau di rumah Habib," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 1:40 PM