BERSAMA usahawan baru.
BERSAMA usahawan baru.
Siti Nadirah Hafidzin

Lelaki ini mempunyai semangat luar biasa dalam melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berjaya dalam bidang masing-masing. Segalanya dilakukan demi membantu mana-mana individu yang mahu memulakan perniagaan, tetapi tidak mengetahui cara tepat yang perlu dilakukan.

Bermula dari situ, anak muda ini tekad menjalankan bengkel seminar secara percuma yang pada mulanya dijalankan hanya di kedai makan.

Berkat niat untuk membantu, seminar dijalankan menerima sambutan menggalakkan terutama dalam kalangan suri rumah yang mahu menjana pendapatan diri juga keluarga.

Pengasas TRS Training & Consultancy Sdn Bhd Suhaimi Umar berkata, bengkelnya dibuka kepada 250 penyertaan saja dan dikendalikannya sendiri.

Tidak mementingkan keuntungan semata-mata, menurut Suhaimi, program itu menjurus kepada misi melahirkan lebih ramai usahawan dan membentuk hubungan dalam dunia perniagaan.

“Program ini sudah masuk lebih tujuh sesi dan alhamdulillah sambutannya sangat menggalakkan. Saya berpegang pada prinsip ‘lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita dapat’.

“Program ini dibuka kepada sesiapa saja yang berminat dan suri rumah amat dialu-alukan kerana perniagaan menerusi dalam talian dapat membantu mereka menjana pendapatan serta bergelar usahawan,” katanya.

Menurut Suhaimi, bengkel berkenaan biasanya berlangsung selama lapan jam dan dalam tempoh itu, peserta didedahkan kepada teori penggunaan Facebook bagi menjalankan urusan perniagaan dalam talian.

“Ramai usahawan yang ada duit, ada produk, tetapi tidak tahu cara memasarkannya. Ada juga yang tidak mengetahui sasaran pelanggan dan berhabis menggunakan teknik pemasaran yang tidak berkesan.

“Malah ada juga yang hendak belajar mengenai pemasaran, tapi kos yang dikenakan sangat tinggi. Disebabkan itu bengkel ini menjadi platform yang tepat untuk mereka mempelajari teknik pemasaran dengan betul,” ujarnya.

Bimbing pelbagai golongan

Mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi maklumat, Suhaimi pernah menjawat tugas di sebuah universiti awam sebelum membuat keputusan bekerja sendiri dan menubuhkan syarikat TRS Training & Consultancy.

“Saya bermula dengan perniagaan dalam talian pada 2008. Dari situ saya rasa selesa menguruskan masa sendiri. Dengan kemahiran yang ada, saya mula memberi khidmat bimbingan kepada kenalan terdekat.

“Daripada hanya menolong orang, ada yang sanggup membayar saya sehingga RM10,000. Dari situ saya nampak peluang dan tertubuhlah TRS Training & Consultancy,” katanya.

Beroperasi di Bandar Baru Bangi, syarikatnya kini mempunyai tujuh pekerja dengan pusat latihan sendiri yang boleh memuatkan hampir 30 peserta dalam satu masa.

MENGADAKAN bengkel usahawan yang mempunyai inti pati berguna dalam dunia perniagaan.
MENGADAKAN bengkel usahawan yang mempunyai inti pati berguna dalam dunia perniagaan.

Menurut Suhaimi, TRS Training & Consultancy turut mendapat sijil daripada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi meningkatkan kemahiran pekerja, perantis dan pelatih bagi memenuhi keperluan pelan perniagaan selaras dengan strategi pembangunan negara.

“Bukan hanya memberi bimbingan kepada individu, program syarikat ini turut dibuka kepada kumpulan besar di bawah syarikat perniagaan tersohor.

“Alhamdulillah, setakat ini saya sudah menjalankan pelbagai bengkel bagi memberikan pendedahan mengenai ilmu perniagaan serta teknik pemasaran menerusi dalam talian.

“Bukan hanya memberikan pendedahan semata-mata, saya juga mahu membentuk peserta menjadi seorang ketua yang berjaya dalam perniagaan sendiri,” katanya.

Menurutnya, bermula awal 2017, pihaknya mengambil keputusan untuk mengenakan sedikit bayaran penyertaan iaitu diskaun RM88 bagi seorang peserta dan RM100 untuk dua peserta.

Bantu lebih ramai usahawan

Harapannya hanya satu iaitu dapat melahirkan lebih ramai usahawan dalam talian terutama dalam kalangan suri rumah melalui bengkel ini.

“Saya amat mengharapkan setiap peserta program ini dapat mempraktikkan ilmu dan tip yang didedahkan supaya ia tidak sia-sia.

“Pelbagai silibus menarik disediakan antaranya rahsia untuk mengenali pelanggan, pemikiran usahawan perniagaan dalam talian, teknik mudah kuasai produk, teknik penulisan dan strategi pengurusan,” katanya.

Menurutnya, dia akan sentiasa berusaha memastikan setiap apa yang diajar dalam bengkel anjurannya itu mudah difahami dan dapat dipraktikkan.

“Tidak ada gunanya jika seseorang itu ada ilmu, tetapi ia tidak dipraktikkan kerana ternyata itu adalah satu perbuatan sia-sia.

“Saya juga berharap mampu melahirkan lebih ramai usahawan baru dan muda dalam pelbagai sektor yang mereka pilih asalkan ia memberi pulangan bermakna,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 3:06 PM