MAZLAN (kanan) beramah mesra dengan pelancong asing yang ditemui pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi di pusat beli-belah sekitar Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini.
MAZLAN (kanan) beramah mesra dengan pelancong asing yang ditemui pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi di pusat beli-belah sekitar Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini.
Fazrik Kamarudin


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan persatuan pemandu teksi supaya tidak melanggar undang-undang termasuk mengadakan perhimpunan tanpa kebenaran di lokasi boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata mereka yang ingkar akan berdepan tindakan tegas sekiranya melanggar undang-undang dan melakukan perkara melampaui batas mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kami mahu nasihatkan mereka, jika mahu buat perhimpunan serahkan surat pemakluman dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan ingin diadakan.

“Perhimpunan diadakan mestilah mematuhi syarat termasuk pemilihan lokasi sesuai seperti Padang Merbok, kami tidak akan benarkan perhimpunan diadakan di lokasi yang boleh menyebabkan gangguan lalu lintas.

“Kami tidak mahu mereka melakukan perkara yang melanggar batasan sehingga mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kepolisan Berprofil Tinggi di pusat beli-belah sekitar Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Pengasas Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail dilaporkan berkata, perhimpunan aman di Padang Merbok bagi menuntut keadilan isu Grab ditangguhkan ke tarikh baharu selepas rundingan dengan polis yang meminta kerjasama pihak penganjur menyerahkan beberapa dokumen bagi menjamin aspek keselamatan.

Sebelum ini, perhimpunan berkenaan dilaporkan akan diadakan 9 pagi hari ini di Padang Merbok, bermula di bangunan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam usaha menuntut ketua pegawai eksekutifnya turun berjumpa pemandu teksi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 7:21 PM