GANDINGAN Raja Ilya dan Fattah.
GANDINGAN Raja Ilya dan Fattah.
YANK (kanan) bersama barisan pelakon.
YANK (kanan) bersama barisan pelakon.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Meskipun industri perfileman negara masih ada pasang surutnya, ia tidak menghalang syarikat penerbitan Major Axis Sdn Bhd dengan kerjasama Wollywood Production Sdn Bhd menerbitkan filem berjudul The Gold Coin.

Filem bergenre saspens thriller klasik moden ini membariskan Fattah Amin, Raja Ilya, Razin Razi dan Yuzz sebagai teraju utamanya.

Menurut penerbitnya yang juga pelakon, Yank Kassim, kepercayaan terhadap penerimaan peminat kepada genre ini bukan hanya melalui kajian dilakukan sebaliknya lebih bersifat universal.

“Selepas menubuhkan Wollywood Production Sdn Bhd, kami merancang menerbitkan filem. Daripada situ timbul idea menghasilkan filem ini seterusnya mula mencari naskhah lain daripada yang lain.

“Tujuannya bukan saja untuk pasaran tempatan, sebaliknya kami mahu bawa karya ini ke luar negara. Justeru, kami perlukan jalan cerita yang berbeza daripada kebiasaan filem tempatan,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran filem terbabit di Pejabat Urusan Wollywood Production Sdn Bhd, di Melaka baru-baru ini.

Menurut Yank, skrip filem itu adalah naskhah pertama diterima syarikatnya sejak dua bulan lalu.

Filem yang diangkat daripada kisah benar ini diyakini dekat dengan jiwa penonton. Tambahan pula ia diselitkan dengan pengajaran sebagai panduan masyarakat.

Menelan kos pembikinan sebanyak RM3 juta, filem ini dijangka memulakan penggambaran pada awal Januari tahun depan.

Manakala lokasi utama penggambaran masih dalam proses pencarian kerana ia perlu dilakukan di kawasan pembinaan.

Sementara itu lokasi lain yang menjadi pilihan adalah sekitar Kuala Lumpur, Melaka dan Muar, Johor.

Tambah Yank, dia berbesar hati apabila Media Anugerah Qib Sdn Bhd bermurah hati menaja kos pembikinan.

“Kepercayaan diberikan pihak penaja menjadi cabaran terbesar kami dalam merealisasikan filem ini.

“Memandangkan filem ini menggunakan teknik CGI untuk beberapa babak, kami perlu lakukan lebih banyak kajian dan kena pastikan ia berjaya,” katanya.

Berkenaan pemilihan pelakon, kata Yank dia bersama tenaga produksi berbincang sebelum membuat keputusan.

“Saya tak memilih pelakon sesuka hati sebaliknya ada pasukan ditubuhkan untuk tugasan itu. Apa yang pasti pelakon dipilih mengikut kesesuaian watak. Paling penting, setiap pelakon berkarisma.

“Selepas menilai semua aspek, Fattah dan Raja Ilya terpilih melakonkan watak ahli kaji purba,” katanya yang turut memaklumkan filem ini akan diarahkan MP Roslin MD Sharif dan Amith Abidin.

Teruja bawa watak utama

Bagi Fattah pemilihannya sebagai bintang utama filem The Gold Coin adalah satu penghargaan yang cukup bermakna.

“Apabila ditawarkan membintangi filem ini saya sangat teruja. Rasa bagai bermimpi kerana ini percubaan pertama saya beraksi di layar perak.

“Antara sebab utama saya bersetuju menjayakan filem ini adalah kerana jalan ceritanya yang menarik selain dapat bekerja dengan produksi baru. Saya berjanji akan berikan sepenuh komitmen,” katanya.

Sama seperti Fattah, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2015 lalu, Raja Ilya sudah tidak sabar memulakan penggambaran.

“Ini adalah filem keenam saya. Watak kali ini jauh berbeza daripada yang pernah saya lakonkan sebelum ini.

“Watak sebagai ahli kaji purba menuntut saya melakukan kajian mendalam. Apatah lagi filem ini berdasarkan kisah benar.

“Meskipun sudah diberi garis panduan, sebagai pelakon saya kenalah buat penyelidikan agar watak ini benar-benar menjadi. Tak mahu sekadar tangkap muat saja,” katanya.

Jelas Raja Ilya, bergandingan dengan Fattah juga bukan perkara baru kerana mereka pernah bergandingan menerusi drama Cinta Ibadah.

“Fattah pelakon yang sangat komited. Mudah bekerja dengannya kerana kami serasi.

“Kami perlu dalami watak masing-masing sebelum memulakan penggambaran supaya tidak kelihatan kekok depan kamera kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 8:27 AM