Yank (tengah), bersama Pengiran Mazlan (kanan) dan Datuk Rahim Nordin.
Yank (tengah), bersama Pengiran Mazlan (kanan) dan Datuk Rahim Nordin.
Oleh Nor Akmar Samudin


Pelakon lagak ngeri, Yank Kassim, 49, yang memulakan kerjaya seninya dalam filem Sembilu diterbitkan 21 tahun lalu kini mengorak langkah baru dengan menjadi produser filem menerusi syarikat produksinya, Wollywood Production Sdn Bdn yang beroperasi di Melaka.

Dengan pengalaman dan sokongan daripada pelabur, Yank yang sudah lama bercita-cita untuk bergelar penerbit bersyukur kerana impiannya kini menjadi kenyataan.

“Selama 21 tahun bergelumang dalam dunia seni, saya amat memahami selok-belok dunia penerbitan drama dan filem. Sebenarnya saya bukan terus jadi pelakon, tetapi terlebih dulu bekerja di belakang tabir.

“Daripada ‘budak pembancuh kopi’ dan tukang angkat barang, saya kemudian diberi pelbagai kerja lain sehinggalah diberi kepercayaan menjadi penolong pengarah.

“Dalam kesibukan bekerja dengan pelbagai produksi saya belajar melakukan aksi ‘stunt’ sendiri dan barulah saya berani berjinak-jinak dalam dunia lakonan. Dalam Sembilu saya menimba pengalaman awal sebagai pelakon tambahan saja, namun sudah memadai untuk mencuba nasib menjadi pelakon,” katanya.

Bertubuh sasa, Yank kemudian dilamar banyak produser dan pengarah untuk muncul membawakan watak lasak, seperti gengster dan kaki pukul.

“Apabila tawaran berlakon sudah banyak dan ada duit sedikit, saya belajar ilmu ‘stunt man’ di Australia dan berbekalkan apa yang dipelajari di sana, saya menubuhkan kumpulan kecil pelakon lagak ngeri yang akhirnya berkembang menjadi tiga hingga empat kumpulan.

“Dua tahun lalu. saya menubuhkan Kelab Yank Stunt yang kini ada 23 orang yang benar-benar aktif dalam bidang lakonan. Selain saya sebagai tenaga pengajar, saya turut dibantu Master Shahrul dan Master Lan Muar,” katanya.

Mengenai pembukaan Wollywood Production, kata Yank, dia bertuah kerana syarikat produksi itu mendapat kepercayaan pelabur untuk melabur dalam setiap produk keluaran syarikat itu terutama filem.

Pelabur utama untuk setiap projek Wollywood Production ialah Media Anugerah Qib Sdn Bhd yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pengiran Mazlan Pengiran Che Ani. Yank juga mendapat sokongan pelabur dari Sabah dan Brunei.

“Pejabat produksi itu dibuka di Melaka kerana kebanyakan pelabur berada di sana yang bersama-sama berhasrat memajukan lagi negeri itu,” katanya.

Sebagai memperkenalkan syarikat produksi baru itu kepada peminat filem tempatan, Wollywood Production bekerjasama dengan satu lagi syarikat penerbitan baru, Major Axis Sdn Bhd menerbitkan filem sulung mereka berjudul The Gold Coin.

Filem itu yang dijang­ka memulakan penggambaran Februari 2016 membariskan bintang hebat, Fattah Amin, Raja Ilya, Yuzz dan Shamim Razi. Filem arahan bersama MP Roslin dan Datuk Amit Abidin itu menelan belanja sebanyak RM3 juta.

“Filem ini akan menggunakan teknik penerapan teknologi komputer grafik (CGI) bagi memastikan filem bergenre thriller klasik moden itu lebih realistik.

“The Gold Coin berlatarkan sejarah sekitar 1818 dan digabungkan keadaan masa kini dengan jalan cerita yang ‘adventure’. Penggambaran akan dilakukan di Lembah Klang, Muar, Johor dan Melaka”, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:01 AM