RAJA Ilya bersama suaminya, Trent Garret.
RAJA Ilya bersama suaminya, Trent Garret.
Ramlah Zainal


SELEPAS enam bulan berkahwin dengan ahli perniagaan kelahiran Australia, Trent Garret, pelakon Raja Ilya, 34, kembali meneruskan aktiviti seninya seperti biasa.

Pemilik nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohammad ini berkata, agenda seninya juga padat sehingga tahun depan.

“Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran berlakon drama dan filem ketika ini. Namun, saya perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga kerana suami juga memiliki perniagaan di Australia,” katanya.

Menurut Ilya, sebaik selesai majlis perkahwinannya pada Disember lalu, dia terus menyambung penggambaran drama Syurgaku Tak Sempurna musim ke 2 sehingga Mac lalu.

“Selepas selesai penggambaran drama, baru saya kembali ke Perth dan tinggal di sana selama sebulan. Selepas itu, saya kembali ke Malaysia untuk selesaikan skrip telemovie Sayang Ku Mia. Ia juga projek sulung terbitan syarikat saya, Golden Peacock Film Production Sdn Bhd,” katanya.

Terkini, Ilya terbabit sebagai hos program travelog 13 episod Raon Di Bumi Kenyalang, Sarawak terbitan syarikat produksinya.

Program travelogue arahan Muralikrishnan itu bakal ditayangkan di RTM.

“Selain sebagai hos, saya juga terbabit sebagai penulis skrip travelog ini. Ia pengalaman pertama kami suami isteri mengembara berdua sepanjang penggambaran program ini pada Ramadan lalu. Saya juga bersyukur kerana kami disambut baik oleh masyarakat di Sarawak. Kami juga mendapat tajaan penginapan dari beberapa hotel di sana,” katanya yang menjelajah ke beberapa tempat di Sarawak seperti Kuching, Sri Aman, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Bercerita mengenai penggambaran program berkenaan, Raja Ilya berkata, dia berdepan dengan cabaran apabila ia dilakukan dalam bulan Ramadan.

“Maklumlah, penggambaran dilakukan dalam cuaca panas terik, di tepi laut dan sebagainya. Mujur, suami yang turut menemani mampu menahan lapar dan dahaga kerana dia sudah biasa berpuasa untuk menurunkan berat badannya sebelum ini,” katanya.

Ditanya mengenai majlis resepsi mereka di Malaysia pula, kata Ilya, mengikut perancangan ia dijangka berlangsung pada September nanti.

“Memang impian kami adakan majlis resepsi perkahwinan di sini khusus untuk meraikan rakan rapat, keluarga terdekat dan pihak media.

“Pada mulanya, saya merancang mahu mengadakannya pada 16 Jun ini di Glam Hall Mercu Mustapa Kamal di Neo Damansara, tapi terpaksa ditangguhkan pada September kerana terikat dengan komitmen kerja,” katanya.

Beraya dengan suami di Perak

Kedatangan Aidilfitri pada tahun ini pastinya cukup bermakna buat Ilya kerana meraikannya buat kali pertama sebagai isteri.

Menurut Ilya, kini hidupnya sudah lengkap kerana ada suami yang sentiasa menemani di sisi.

“Alhamdulillah, saya bertuah kerana Trent suami yang penyayang dan membuatkan hidup saya bahagia. Setiap kali ada masa terluang, banyak aktiviti yang kami lakukan bersama,” katanya.

Aidilfitri tahun ini Ilya dan suami meraikannya di kampung halamannya di Ipoh dan Taiping, Perak.

“Kami sangat teruja dapat beraya bersama keluarga dan sanak saudara di kampung,”katanya.

Raja Ilya dan Trent berkahwin di kediaman saudara ahli perniagaan itu di Perth, Australia dalam majlis tertutup dan dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak pada 23 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 5:30 AM