DARI kiri Haydiel, Hayriel dan Haykal menjalani sesi latihan di Pusat Latihan Taekwando Hypermax.
DARI kiri Haydiel, Hayriel dan Haykal menjalani sesi latihan di Pusat Latihan Taekwando Hypermax.
JURULATIH Jefri menunjukkan tendangan yang betul kepada Haykal.
JURULATIH Jefri menunjukkan tendangan yang betul kepada Haykal.
HASMIAH dan tiga anaknya bersama piala yang dimenangi mereka dalam kejohanan tae kwan do.
HASMIAH dan tiga anaknya bersama piala yang dimenangi mereka dalam kejohanan tae kwan do.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Melihat ketiga-tiga beradik ini menjalani latihan tae kwan do di Pusat Latihan Taekwando Hypermax, Semenyih terpampang jelas semangat kental mereka. Apabila si abang Muhamad Haykal Sainal Abidin, 11, mengajukan tumbukan kepada adiknya Mohammad Hayriel, 8, ia disambut dengan penuh semangat, begitu juga dengan anak ketiga Mohammad Haydiel Hazlan, 7, yang bersedia membalas serangan pada bila-bila masa.

Setia memberikan sokongan, ibu tersayang, Hasmiah Sawinta, 31, sentiasa berada di sisi sama ada ketika latihan atau menyertai perlawanan ke luar negara. Bagi Hasmiah sejak mereka bertiga menyertai tae kwan do tiga tahun lalu dia tidak pernah ‘duduk diam’ dan sentiasa memberikan sokongan moral.

Pengalaman ketika zaman persekolahan apabila ibu menghantarnya ke sesi latihan seni mempertahankan diri, digunakan sepenuhnya dan semua ilmu ini dicurahkan pula kepada tiga anaknya.

“Walaupun saya dilahirkan bukan dalam keluarga berada, ibu sangat mementingkan keselamatan dan memastikan kami adik-beradik mempunyai seni bela diri. Sejak sekolah rendah saya menyertai tae kwan do dan berjaya mendapat tali pinggang hitam. Apabila berkeluarga saya berazam memastikan anak mempunyai seni mempertahankan diri supaya mereka dapat menjaga diri apabila berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.

Sebagai ibu Hasmiah bukan setakat memenuhi keperluan pembelajaran kepada ketiga-tiga anaknya sebaliknya memastikan mereka mampu melindungi diri dalam apa juga keadaan. Apabila membaca di akhbar dan menonton menerusi televisyen mengenai kes buli di sekolah, cabul dan penderaan seharusnya ibu melengkapkan anak mereka dengan seni bela diri sama ada silat, tae kwan do atau karate.

“Saya memilih taekwando untuk mereka kerana mempunyai pengalaman dalam bidang ini sejak di sekolah rendah. Banyak kebaikan diperoleh selain menyihatkan badan, menjalani rutin latihan pada setiap minggu menjadikan seseorang itu berdisiplin serta berani berhadapan dengan orang ramai.

“Inilah perubahan yang saya perhatikan untuk ketiga-tiga anak saya selepas sebulan mereka menyertai tae kwan do. Disiplin diri jelas kelihatan. Mereka juga mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan berani,” katanya.

Mendapat jolokan keluarga tae kwan do, Hasmiah menghantar anak sulungnya Haykal ketika usia lapan tahun, anak kedua lima tahun manakala anak ketiga empat tahun. Untuk anak ketiga mulanya jurulatih Muhammad Jefri Safry ragu-ragu untuk mengambilnya sebagai peserta, namun selepas diyakinkan Hasmiah akhirnya mereka menerimanya.

“Memanglah susuk tubuh Haydiel sangat kecil berbanding semua peserta, namun selepas diberi tunjuk ajar dia mudah menerimanya dan tidak kekok berlatih sehinggalah usianya sekarang. Malah saya sangat gembira dengan pencapaian Haydiel,” katanya.

Tae kwan do juga menjadikan Haydiel lebih berani menyuarakan pendapat. Apa yang dirasakan betul dia akan pertahankannya manakala jika salah dia akan cepat-cepat mengakuinya. Ini antara sifat positif yang terbentuk sendiri selepas mereka melalui latihan tae kwan do sejak tiga tahun lalu.

Bukan semua orang bersetuju dengan tindakan Hasmiah dan mempersoalkan apa perlunya dia menghantar anak yang masih terlalu kecil ke kelas seni mempertahankan diri sedangkan pada usia itu mereka dalam proses bermain. Namun Hasmiah mempunyai alasan tersendiri, dia tahu kanak-kanak umpama span yang mudah menyerap apa saja latihan dan pendidikan. Apa yang perlu dilakukan ibu bapa adalah memberikan bimbingan dan sokongan supaya mereka tidak putus asa.

“Mungkin anak akan menolak, ada rasa malas atau memberi pelbagai alasan. Tetapi sebagai ibu adakah kita perlu melayan semua itu sedangkan sepatutnya anak mengikut apa yang sudah diaturkan ibu bapa. Situasi ini memang berlaku kepada sesiapa saja. Ada ibu yang mengikut saja kehendak anak dan akhirnya apabila anak sudah besar agak susah membentuk peribadi mereka. Saya menurut pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya,” kata Hasmiah.

Dengan latihan berterusan dan sokongan ibu bapa, Haykal yang memiliki tali pinggang merah hitam terpilih menyertai Kejohanan Taekwando ICTO di Vietnam dan Kejohanan Tirak Taekwando di Bangkok baru-baru ini dengan memenangi satu pingat perak dan tiga gangsa manakala di Bangkok satu pingat emas dan dua perak.

Sudah tentu ia pencapaian yang sangat membanggakan selain kejohanan dalam negara termasuk Kokocrunch di Pahang, Kejohanan Skid di Johor dan Rembau Close yang semuanya memberikan pengalaman berharga kepada Haykal untuk terus meningkatkan keupayaan diri dalam taekwando.

Ajar anak berdikari

Hasmiah tidak mahu melepaskan setiap saat dalam mendidik anak. Apa yang diterima ketika zaman kanak-kanak menerusi ibu di Sabah kini diberikan kepada anaknya pula. Antaranya mengajar mereka berdikari dengan melakukan tugas ringan di rumah.

Oleh kerana Hasmiah tidak mempunyai pembantu rumah maka Haykal, Hayriel dan Haydiel dibiarkan tinggal di rumah selepas balik dari sekolah manakala anak keempat Hayzatul Hadawiyah, 2, dibawa ke kedai kecantikan miliknya di Semenyih, Selangor. Mulanya memang agak takut seandainya berlaku perkara tidak diingini di rumah namun Hasmiah kuatkan semangat kerana merasakan mereka sudah mampu menguruskan diri sendiri.

Dia percaya dengan memberikan kepercayaan dan didikan sepenuhnya kepada anak sulung dapat melatih adik yang lain mengikut dan menganggap abang mereka sebagai idola.

“Sejak usianya tujuh tahun saya mengajar Haykal mengemas buku sekolah, membasuh kasut dan memastikan rumah dalam keadaan kemas. Biasanya saya menyediakan makanan tengah hari di rumah dan apabila pulang Haykal akan menyediakan makanan untuk adiknya dan memastikan mereka membuat kerja sekolah.

“Dengan memberikan tanggungjawab kepada anak sulung saya sudah membina kepercayaan kepada mereka. Ini menjadikan mereka lebih bertanggungjawab dan memastikan semua yang diminta dilakukan sepenuhnya,” katanya.

“Kepercayaan yang diletakkan pada usia muda ini menjadi tiga beradik itu sangat rapat. Mereka bukan saja jarang bergaduh malah saling bantu-membantu antara satu sama lain. Saya selalu menasihatkan mereka supaya berbaik sesama sendiri supaya apabila meningkat dewasa, jika ada masalah adik-beradik yang akan menolong,” katanya.

Kepayahan dilalui Hasmiah juga menjadi pendorong kepada ibu empat cahaya mata untuk mendidik anaknya mengikut acuan sendiri. Walaupun kebanyakan ibu bapa mengelak menggunakan kekerasan seperti rotan, tetapi dia berasakan pada zaman teknologi maklumat ini rotan masih relevan.

“Dulu saya dididik menggunakan rotan. Setiap kesalahan ada hukumannya. Untuk itu saya menggunakan teknik yang sama dengan mengajar anak mengenai hukuman yang akan ditanggung jika melakukan kesalahan. Kalau di sekolah, cikgu akan denda jika tidak menyiapkan kerja rumah atau menghilangkan buku. Saya percaya dengan cara ini anak akan lebih berdisiplin, tahu kesalahan dan berusaha memperbaikinya,” katanya yang berazam terus memberikan sokongan kepada tiga buah hatinya menjalani latihan tae kwan do sehingga ke peringkat paling tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 10:55 AM