HOBI serupa pengikat kasih sekeluarga
HOBI serupa pengikat kasih sekeluarga
EIZAM dan Nurul Hayati.
EIZAM dan Nurul Hayati.
Kusyi Hirdan

Ramai yang mencari keserasian dalam keluarga supaya ia menjadi tali pengikat kasih. Ia bukan mudah kerana masing-masing mempunyai cita rasa sendiri. Minat suami belum tentu serupa dengan isteri. Begitu juga minat ibu bapa, anak tidak semestinya mengikut.

Kini, acara yang sering dijadikan pengikat kasih ialah hari keluarga. Itu pun sekadar agenda setahun sekali, juga pertemuan di hari raya. Pertemuan diharapkan merapatkan pertalian yang longgar kerana kesibukan peribadi dan peredaran masa.

Ada yang bernasib baik berkongsi hobi sama dengan ahli keluarga. Berbasikal, masuk hutan, memasak, menjahit, menanam pokok, memancing ataupun melancong, semuanya dilakukan sekeluarga.

Bagi pasangan suami isteri ini, pengikat mereka sekeluarga sesuatu yang diminati sejak sekian lama. Kini selepas beranak tiga, minat itu tidak pernah luntur malah dipanjangkan pula kepada anak. Minat mereka kepada seni mempertahanan diri tae kwon do.

Eizam Arbak, 42, dan Nurul Hayati Abdul Rahim, 33, kedua-duanya berasal dari Muar meminati tae kwon do sejak zaman persekolahan. Malah, pertemuan jodoh mereka juga disatukan di lapangan tae kwan do.

Setelah mendapat tali pinggang hitam pada usia 16 tahun, Eizam mula mengajar di sekolah. Selepas tali pinggang hitam, Eizam mencapai peringkat 7 DAN dan membawanya ke gelaran master. Jelas, dunia Eizam memang sentiasa bersama tae kwon do.

“Memang, hujung minggu dan masa terluang, tae kwon dolah dunia saya. Dari zaman persekolahan hinggalah ke universiti. Saya mengambil kursus jurusan perakaunan. Dari peringkat diploma hingga ke ijazah, saya tetap aktif. Kemudian ditakdirkan Hayati menjadi antara murid saya. Itulah jodoh pertemuannya,” katanya.

Mengenang sejarah Eizam bersama tae kwon do, di peringkat awal dia tidak pun meminatinya, mungkin kerana dia masih kanak-kanak. Bapanya yang aktif dan antara pelajar terawal mempelajari seni itu daripada jurulatih Korea sendiri sekitar 1970-an.

“Kemudian, apabila ada kawan turut serta, saya mengikut dan baru timbul minat sebenar. Saya mula rasa seronok sehingga mendapat tali pinggang hitam. Rasa macam tidak disengajakan apabila saya semakin serius dalam bidang ini. Saya mula terpilih mewakili Johor di peringkat kebangsaan. Ketika tingkatan lima pula, saya mewakili negara,” katanya.

Melalui tae kwon do juga Eizam pernah menjejak ke negara yang penuh kontroversi, Korea Utara.

“Pada 1992 saya ke Korea Utara ketika berusia 18 tahun untuk kejohanan tae kwon do sedunia. Saya berjaya mengalahkan peserta tuan rumah dalam kategori pattern,” katanya.

Hayati dan tali pinggang hitam

“Saya tidaklah seaktif Eizam tetapi memang minat tae kwon do sejak di tingkatan tiga. Saya pujuk ibu bapa untuk benarkan mengikutinya. Memang saya akui, untuk menyertai sukan tae kwon do agak mahal,” cerita Hayati.

Di sekolah dia sempat mendapat tali pinggang hijau dan menyambung semula di UiTM untuk tali pinggang hitam. Ketika itulah dia bertemu Eizam yang menjadi jurulatihnya.

Hayati mengambil kursus jurusan perbankan Islam dan kini berkerjaya tetap di sebuah bank di ibu negara.

“Apabila melahirkan anak, saya terpaksa melupakan tae kwon do untuk sementara. Punyalah rindu. Sekarang apabila mereka sudah mampu berdikari dan anak ketiga boleh ditinggalkan bersama pengasuh, dapatlah saya aktif semula,” kongsi Hayati.

Pasangan suami isteri ini melihat anak mereka seperti bayangan masa lalu sendiri. Mereka lasak, mahu bermain seperti kanak-kanak lain.

“Faheem, 10, dan Hannah, 9, sentiasa bersama melihat aktiviti tae kwon do kami. Secara tidak langsung mereka terbabit sama. Mereka mungkin belum ada minat mendalam dan saya pun tak mahu memaksa. Biar ia datang secara semula jadi, sama seperti saya dulu.

“Kami juga tidak mahu tergesa-gesa mahukan mereka segera mendapat tali pingggang hitam sebab melalui pengalaman, saya lihat ada kanak-kanak yang mendapat tali pinggang hitam seawal 12 tahun tetapi tidak ke mana. Selepas itu ia dilupakan.

“Biarlah mereka dewasa bersama-sama minat yang sebenarnya. Dari situ mereka lebih menghargai tae kwon do,” kata Eizam.

Bina keyakinan

Masing-masing mempunyai kerjaya tetap namun tae kwon do dijadikan hobi merapatkan mereka sekeluarga, juga mengajar lebih ramai mengenai seni mempertahankan diri.

Eizam sebagai jurulatih master dan Presiden Kelab Intekma Taekwondo (ITF) aktif menganjurkan pertandingan tae kwon do kebangsaan sepanjang tahun dan menjadi jurulatih pada masa lapang. Muridnya sudah melebihi 1,000 orang. Tampak dia puas pada pencapaiannya apatah lagi sentiasa ada isteri di sisi yang sangat memahami.

Dia tidak pernah menyesal masa remajanya sehinggalah sekarang banyak diisi dengan tae kwon do. Dia melihat kesan kebaikannya.

“Ia memberi banyak kebaikan kepada saya. Ia juga membina diri saya dalam kerjaya. Saya lebih yakin, lebih bagus dalam komunikasi, berdisiplin, berdikari dan memimpin,” katanya.

Kata Hayati pula, tae kwon do bukan hanya seni mempertahankan diri, malah pengetahuan ilmu itu memberinya keyakinan dalam apa juga bidang yang disertai serta kelebihan stamina. Dia juga rasa selamat.

“Kita tahu dengan adanya ilmu ini, kita boleh mempertahankan diri jika berlaku perkara yang tidak diingini. Ia sangat berguna,” katanya.

Tali pinggang tae kwon do bermula daripada putih, kuning, hijau, biru, merah dan hitam. Tali pinggang hitam pula mempunyai sembilan peringkat yang dipanggil DAN. Gelaran selepas tali pinggang hitam ialah master bermakna sudah layak menjadi jurulatih.

Seni mempertahankan diri berusia ratusan tahun ini berasal dari Korea, terkenal di seluruh dunia kerana ia sangat mementingkan ketangkasan seni menumbuk dan tendangan yang padu.

Dipraktikkan oleh semua peringkat usia tanpa mengira bangsa dan jantina. Selain pertahanan diri, sukan tae kwon do juga memberi manfaat kepada kesihatan mental dan fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 12:58 PM