MOHAMAD Azib (tengah) memenangi pingat emas kategori 36kg
MOHAMAD Azib (tengah) memenangi pingat emas kategori 36kg
Oleh Shamsudin Husin

Chukai: Kejayaan meraih pingat emas kategori 36 kilogram (kg) dalam Program Gemilang Taekwando Championship 2015 membakar semangat Mohamad Azib Zafuan Mohd Safian, 8, untuk menjadi juara kebangsaan sekali gus beraksi di peringkat tertinggi.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Kemaman itu mula meminati sukan taekwando sejak berusia enam tahun dan bercita-cita menjadi juara kebangsaan dan antarabangsa.

“Sebagai permulaan, kemenangan saya dalam kategori 36kg dalam pertandingan ini memberi inspirasi bagi meraih kejayaan sama pada masa akan datang.

“Bagi mencapai sasaran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, saya mesti mengorak langkah dari sekarang dengan latihan berterusan untuk memantapkan diri,” katanya.

Menurutnya, dengan galakan ahli keluarganya, dia akan mempertingkatkan usaha dan latihan bagi mencapai cita-cita itu.

“Ibu bapa mahu melihat saya mencapai kejayaan hingga ke peringkat tertinggi. Justeru saya bertekad untuk merealisasikannya suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui selepas Program Gemilang Taekwando Championship 2015 di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kemaman.

Sementara itu, Zuraidah Wahab, 36, ibu kepada Mohamad Azib berkata, beliau bersama suami, Mohd Safian Hasan, 39, sentiasa memberi dorongan kepada anak sulung daripada tiga beradik itu yang meminati sukan taekwando sejak di tadika lagi.

“Sebagai ibu bapa sudah tentu kami mahu lihat anak kami berjaya bukan hanya di peringkat negeri dan kebangsaan, malah lebih tinggi lagi.

“Kami sentiasa berikan semangat kepadanya supaya tidak mudah berputus ada dan cekal menghadapi cabaran tidak kira ketika dalam latihan atau pertandingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:15 AM